Páginas

Sunday 11 January 2015

1,000 Skuad Sukarelawan TTB, 100 Tukang Rumah Jayakan Misi Bantuan Banjir Di Kelantan

Author: Aida Abd Rahman | 7 January 2015


Penderitaan mangsa banjir yang terpaksa berteduh di bawah khemah selepas rumah hanyut dan musnah dalam bencana banjir di Kelantan mendapat perhatian Kerajaan Terengganu  apabila 1,000 sukarelawan bersama 100 tukang rumah akan ke penempatan itu bagi membina rumah sementara kepada mangsa, bermula Jumaat ini.
Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata, sebanyak 30 tan kayu dan pelbagai bahan binaan yang dianggarkan bernilai RM200,000 akan dibawa ke kawasan terjejas banjir di Dabong, Kuala Krai bagi membina beberapa unit  rumah transit menggunakan struktur pasang siap sepanjang dua hari misi berkenaan.

“Kita akan membawa tukang-tukang,  segala peralatan termasuk kayu berjumlah 30 tan dan atap bagi membina rumah serta membantu sekadar yang boleh kepada mangsa yang masih tinggal di atas jalan di bawah-bawah khemah.

“Kita juga memiliki cadangan model rumah yang akan dibina bagaimanapun bergantung kepada persetujuan daripada pihak di sana. Kita sudah meminta pihak kita merangka pelan rumah transit itu dan ia senang kerana konsepnya menggunakan papan lapis, atap dan pasang siap serta lebih cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media di Tingkat U2, Wisma darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’Osman Muda.

Ahmad Razif berkata, tanggungjawab sosial korporat (CSR) digembeleng bersama skuad Sukarelawan Transformasi Terengganu Baharu (TTB) yang terdiri daripada agensi kerajaan, parti politik dan badan bukan kerajaan akan berpecah kepada dua kawasan iaitu 500 di Dabong sementera selebihnya di Machang, mula berlepas dari Stadium Majlis Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, kirira-kira jam 10 pagi esok (Khamis).

Katanya, misi bantuan di Dabong akan diketuai oleh Ketua Pemuda UMNO Negeri Terengganu, Mohd  Johari Abu Bakar, manakala Pegawai Kluster Belia dan Sukan, Zaidi Muda pula di Machang.

“Tumpuan kita dalam misi bantuan bencana banjir di Kelantan ini yang menumpukan dua kawasan Machang dan Dabong yang mengalami kemusnahan yang teruk serta tidak ramai lagi sukarelawan di Dabong.

“Fokus kita di Dabong membersih surau, masjid dan lima sekolah menengah dan rendah termasuk rumah guru  yang terdapat di situ belum dibersihkan dan selut amat tebal. Kita perlu lakukan sesuatu pada Jumaat dan sabtu ini supaya semua pelajar dan guru dapat ke sekolah pada Ahad ini,” katanya.

Selain itu, misi bantuan berkenaan juga menyediakan tukang masak dan bahan makanan kepada mangsa serta sukarelawan yang terlibat dan turut membawa 3,500 set keperluan diri termasuk telekung sembahyang yang akan diagihkan kepada 2,500 mangsa di Machang dan selebihnya di Dabong.

Tambah beliau, Syarikat Air Terengganu (SATU) juga akan menyediakan empat lori tangki air untuk melancarkan lagi proses pembersihan lumpur dan selut  di kawasan terlibat.

Dalam pada itu, beliau juga melahirkan rasa bangga dengan semangat sukarelawan dan solidariti yang dipamerkan oleh pasukan sukarelawan yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Rozi Mamat bagi meringankan kesengsaraan mangsa banjir di negeri jiran, Kelantan dan kawasan lain yang terjejas.


Teganukita

No comments:

Post a Comment