Páginas

Monday 5 January 2015

Perutusan Tahun Baru 2015 MB Terengganu

Author: Suriati Ali 31 December 2014
Selamat Tahun Baru 2015- Dato’ Ahmad Razif
*****
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

Saya, keluarga dan barisan kepimpinan negeri Terengganu ingin mengambil sedikit ruang dan peluang untuk mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu 2015.
Sesungguhnya Tahun 2014 yang bakal meninggalkan kita telah banyak melukiskan memori suka dan duka, pahit dan manis sebagai rakyat Malaysia amnya dan rakyat Terengganu khususnya.

Sebagai peneraju kepada pembangunan negeri Terengganu, jauh di sanubari saya ingin sekali menyediakan banyak perkara demi memberi keselesaan kepada rakyat.

Namun sebagai hamba Allah, saya hanya mempunyai kudrat upaya terbatas. Maka dalam keadaan ini, saya sangat besyukur ke hadrat Ilahi kerana menghadirkan kepada saya barisan kepimpinan parti pelbagai peringkat, pegawai-pegawai yang berdedikasi dan berintegriti.

Rakan teman yang tidak membiarkan saya bersendirian dan rakyat jelata yang penuh dengan budaya ihsan. Terima kasih semua.

Ini bukan sekadar cakap tapi marilah kita bersama-sama melaksanakannya dalam merealisasikan lapan prinsip yang digariskan dalam Transformasi Terengganu Baharu.

Kita telah sama-sama buktikan semasa menangani dugaan Allah tatkala hampir seluruh negeri dilanda banjir.

Kita bekerja melewati penat lelah, perit-jerih demi rakyat yang tetap dan pastinya kita dahulukan.

Kesempatan ini juga, saya bagi pihak kerajaan negeri Terengganu ingin mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada YAB Dato’ Seri Perdana Menteri dan YAB Tan Seri Timbalan Perdana Menteri Malaysia di atas keprihatinan mereka berbentuk sokongan moral serta barangan keperluan kepada mangsa bencana banjir di negeri Terengganu.

Demikian episod-episod kenangan kita mengakhiri tahun 2014.

Akhir sekali izinkan saya mengucapkan tiga perkara sebelum 2014 ini melabuhkan tirainya bagi membuka laluan kepada 2015 untuk mencatatkan nota-nota kehidupannya;

1. TERIMA KASIH
Terima kasih saya ucapkan kepada barisan kepimpinan, pegawai-pegawai dan rakyat jelata yang membantu saya dalam usaha membangunkan negeri yang kita sayangi ini

2. MAAF
Saya dan keluarga minta maaf diatas kesilapan dan keterlanjuran jika ada

3. DOA
Saya dan barisan kepimpinan mendoakan semoga negeri Terengganu akan dilimpahi keberkatan duniawi dan ukhrawi. Amin.

Sesungguhnya hanya kepada Allah saya berserah.







Teganukita

No comments:

Post a Comment