Páginas

Wednesday, 21 January 2015

Hadiah RM100 SSPN-i Untuk Bayi Lahir 2015 Akan Diperincikan Secepat Mungkin

Author: Aida Abd Rahman 20 January 2015 


Hadiah RM100 melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) untuk setiap bayi yang lahir tahun ini, bermula 1 Januari lalu boleh dipohon dengan mengisi borang permohonan yang akan diedarkan melalui Pusat Khidmat Masyarakat ADUN, Pegawai Pembangunan dan Pegawai Penyelaras DUN seluruh Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Muhammad Pehimi Yusof, berkata inisiatif kerajaan kepada bayi yang baru dilahirkan itu selaras dengan pengumuman dalam Bajet 2015 lalu, selain menggalakkan budaya menabung di kalangan rakyat negeri ini awal usia.
“Malah, pada hari ini kita akan mengadakan mesyuarat dengan pihak SSPN bagi memperincikan perkara itu sebelum borang-borang dengan syarat permohonan diedarkan ,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima bantuan sumbangan banjir yang disampaikan oleh Bank Persatuan di Tingkat Lima, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Sumbangan berjumlah RM10,000 disampaikan oleh Pengerusi Perhubungan Awam Bank Persatuan, Ahmad Atan. Hadir sama Pengerusi Keanggotaan dan Kebajikannya, Othman Ahmad.

Muhammad Pehimi berkata,  satu memorandum persefahaman (MoU) dengan SSPN akan diadakan bagi mencapai kata sepakat dan memudahcara pelaksanaannya sekaligus bagi melantik kerajaan negeri sebagai wakil bagi pihak ibu bapa bayi untuk menabung kepada SSPN-i.

Tambah beliau, pemohon yang layak memohon insentif baharu itu adalah ibu yang melahirkan anak di Terengganu tanpa mengambil kira asal ibu bayi berkenaan.

“Jika ibu berkenaan bukan orang (berasal) dari Terengganu sekalipun, dia masih layak memohon, asalkan anak dilahirkan di mana-mana hospital dalam Terengganu.

“Jika ibu berkenaan rakyat Terengganu, tetapi menetap di negeri selain Terengganu serta melahirkan anak di negeri lain dan  Kedah misalnya, maka dia tidak dapat memohon bantuan itu,” katanya.

Menurutnya, ibu yang berasal dan menetap di Terengganu tetapi melahirkan anak di negeri selain Terengganu juga dapat membuat permohonan itu selepas mendapat  pengesahan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) di tempat tinggal masing-masing.

Bagaimanapun, jika ibu berkenaan bersalin di negeri jiran disebabkan berdekatan dengan tempat tinggal seperti dari Besut dan melahirkan bayinya di Kota Bharu, manakala dari Kemaman melahirkan anak di Kuantan juga masih layak mendapat skim itu selepas memperolehi pengesahan JKKK.

Teganukita

No comments:

Post a Comment