Páginas

Wednesday 21 January 2015

Rawatan Segera Jika Sakit Mata

Author: Aida Abd Rahman | 21 January 2015

Muhammad Pehimi (tengah) selepas menerima bantuan sumbangan banjir yang disampaikan oleh Bank Persatuan di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu. Foto oleh Tg Syamim Tg Ismail
*****
Mangsa banjir dan mereka yang terlibat dengan kerja-kerja sukarelawan bantuan banjir dinasihatkan segera berjumpa doktor untuk rawatan lanjut sekiranya mengalami sakit mata yang berlanjutan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Muhammad Pehimi Yusof berkata, mereka yang mempunyai simptom seperti gatal, pedih atau kemerahan pada mata perlu segera berbuat demikian bagi mengelak dijangkiti penyakit leptospirosis dan melioidosis.
Beliau turut mengesahkan setakat ini sebanyak 26 kes seumpama itu dilaporkan berlaku di Terengganu yang dipercayai kesan daripada banjir. “Setakat ini, penyakit itu tidak berbahaya. Bagaimanapun, kita nasihatkan mereka yang ada simptom seperti gatal-gatal mata, pedih dan kemerahan pada merah dinasihatkan agar cepat-cepat mendapatkan rawatan untuk pencegahan awal.

“Biasanya selepas rawatan, kes seperti ini hanya mengambil masa tiga hari untuk pulih dan tiada kes yang dimasukkan ke hospital kecuali hanya mendapat rawatan pesakit luar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima bantuan sumbangan banjir yang disampaikan oleh Bank Persatuan di Tingkat Lima, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Sumbangan berjumlah RM10,000 disampaikan oleh Pengerusi Perhubungan Awam Bank Persatuan, Ahmad Atan. Hadir sama Pengerusi Keanggotaan dan Kebajikannya, Othman Ahmad.

Muhammad Pehimi berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati penyakit itu dipercayai berpunca daripada debu, kesan daripada banjir teruk tempoh hari.
“Penyakit ini kemungkinan berpunca daripada banjir berikutan cuaca panas dan kering, lumpur bertukar menjadi debu sehingga memberi kesan pada mata,” katanya.

Kementerian Kesihatan sebelum ini mengesahkan berlaku trend pertambahan penyakit leptospirosis dan melioidosis bagi tempoh dari Januari hingga semalam.

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, sejumlah 647 kes disyaki leptospirosis dilaporkan dan daripada jumlah itu, 110 kes disahkan penyakit itu iaitu 49 kes di Kelantan, Terengganu (26), Perak (21) dan Pahang (14).

Dalam tempoh serupa, katanya, sebanyak 20 kes melioidosis dilaporkan melibatkan 13 kes di Pahang, Kelantan (lima) dan ma­sing-masing satu kes di Perak serta Johor.

Teganukita

No comments:

Post a Comment