Páginas

Thursday, 15 January 2015

Apa sudah jadi Kenyir 2, Tembat dan Puah…suatu penjelasan

Author: Ruslan Abdul Rahman | 14 January 2015 

 Pengurus Tapak Projek, Mohammad Azman Asmawi menunjukkan gunung ganang sempadan Terengganu- Kelantan dan Tasik Puah (Kenyir 2) di bawah tidak dapat mengalirkan air ke Kelantan.
*****
Memperihalkan secara jelas adakah benar dakwaan bahawa Tasik Kenyir Dua adalah punca penyebab banjir Kelantan – membabitkan Empangan Hidroelektrik Puah dan Empangan Sungai Tembat di Hulu Terengganu, saya (penulis), Harun Hassan (Penolong Pegawai Penerangan), Zulkifli Putra (Jurufoto) dan Mat Yahya (Jurukamera) dari Unit Komunikasi Negeri (UKOM) telah meredah belantara, sungai dan bukit-bukau; membuat tinjauan dengan diiringi oleh pegawai-pegawai kanan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai sumber maklumat pertama (first hand) yang berautoriti dan berintegriti.
Pegawai yang membawa kami membuat tinjauan isu ialah Pengurus Besar Bahagian Penjanaan TNB, Mustaffa Hashim, Pemangku Pengurus Projek Hidroelektrik, Ahmad Yazit Osman dan Pengurus Tapak Projek, Mohammad Azman Asmawi.

Catatan isu: Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan (Salor) berkata “TNB hendaklah berani untuk telus. Kerajaan Negeri hendaklah menubuhkan jawatakuasa menyiasat”.

Jadi adakah benar, limpahan air dari projek Hidroelektrik Empangan Kenyir Dua ini (Tembat dan Puah) ini menyebabkan banjir di Negeri Kelantan? Pengurus Tapak Projek, Mohammad Azman bin Asmawi menafikan sama sekali.


Penulis bersama Mohammad Azman Asmawi di tapak projek Empangan Kenyir 2
*****
Paras ketinggian air di Tasik Puah yang mula ditakung ketinggiannya 299 meter (dari paras laut), manakala sungai Tembat yang akan bertukar menjadi tasik tidak lama lagi apabila proses takungan dijalankan adalah 436 meter tingginya dari aras laut.

Tasik Kenyir yang sedia ada ketinggiannya ialah 145 meter dari aras laut. Bermakna, realitinya yang sudah ditakung paling tinggi ialah di Tasik Puah (299 meter) dan di Tembat akan lebih tinggi iaitu 436 meter.

Sedangkan, hakikatnya banjaran gunung-ganang yang menghadang sempadan Terengganu-Kelantan adalah mencapai tahap ketinggian antara 800-1 000 meter. Manakala jarak di antara tasik Puah dengan banjaran berkenaan adalah melebihi 30 km jauhnya. “Air pada aras yang rendah itu tidak mampu merentasi gunung penghadang di sempadan untuk mengalirkan air ke sebelah Kelantan” katanya.

Sementara itu,  Ahmad Yazit Osman (Pemangku Pengurus Projek) pula menjelaskan, semua air dari empangan kedua itu (sama ada Puah atau Tembat di bahagian paling atas), airnya akan mengalir masuk semula ke Tasik Kenyir asal dan seterusnya ke Janakuasa Hidroelektrik Sultan Mahmud (Jenagor) dan terus ke Sungai Terengganu.

“Semua pelepasan air adalah melalui Empangan Puah dan Empangan Tembat di mana air pelepasan akan mengalir di aliran asal Sg. Terengganu dan Sg. Tembat, dan seterusnya mengalir masuk ke Tasik Kenyir yang asal di bawah sana,” jelasnya.

Tidak ada aliran air dibuat ke lain dan kalau ada yang menyatakan demikian, ia hanyalah tuduhan semata-mata. Pengurus Besar Bahagian Penjanaan TNB, Mustafa Hashim pula menjelaskan selain bagi tujuan penjanaan elektrik, empangan ini juga menjadi tebatan banjir sebenarnya.

Air yang melebihi dapat ditakung dan dikawal untuk dilepaskan secara terkawal melalui turbin janakuasa dan juga alur limpah automatik jika melebih aras yang dikehendakki. Malah pada masa yang sama juga, katanya, air tasik itu dibekalkan ke Sungai Terengganu seperlunya untuk tujuan bekalan air bersih, terutamanya pada musim kemarau.

Bermakna ada tiga fungsi utama empangan yang kami bina ini, selain tasik berguna pula untuk sektor pelancongan, perikanan dan sebagainya, ujarnya.

Hujan terlalu lebat pada bulan Disember lalu, sebulan hujan pada bulan berkenaan baru-baru ini sama jumlahnya dengan taburan setahun hujan pada tahun sebelumnya; itulah betapa luarbiasa terhadap perubahan situasi iklim dan cuaca masakini.

“Tetapi oleh kerana kita mempunyai empangan Tasik Kenyir, banjir besar sepertimana yang berlaku dapat kita elakkan berlaku di sepanjang Sungai Terengganu,” jelasnya.

Sebab itu baru-baru ini ada cadangan untuk membina empangan di Sungai Lebir di Kelantan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebagai usaha tebatan banjir bagi negeri Kelantan.

Daripada rugi berbillion ringgit akibat banjir baru-baru ini, lebih baik kos itu dibelanja untuk membina empangan bagi menghalang kejadian banjir besar itu.

Teganukita

No comments:

Post a Comment