Páginas

Sunday 11 January 2015

Adun Dabong Terharu Sumbangan Kerajaan Negeri Terengganu

Author: Mohd Syazni Zainudin | 11 January 2015

Dato’ Ahmad Razif menyampaikan sumbangan kepada ADUN Dabong. Dato’ Ramzi Ab Rahman. Gambar oleh Harish Fazillah
*****
Ahli Dewan Undangan (ADUN) Dabong, Dato’ Ramzi Ab Rahman cukup terharu dengan tindakan kerajaan negeri Terengganu dalam membantu daerah tersebut.

Beliau berkata dengan sumbangan ini terutamanya dari segi tenaga kerja menggembirakan penduduk di kawasan terbabit.
“Saya amat berterima kasih kepada Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman serta kerajaan negeri Terengganu yang membawa satu pasukan besar seramai lebih 1,500 sukarelawan untuk membersihkan daerah ini yang terjejas teruk akibat musibah yang berlaku.

“Saya juga ucapkan terima kasih kerana membina 21 buah rumah transit yang akan siap dalam masa tiga hari untuk kita tempatkan mangsa-mangsa yang rumahnya hanyut sementara rumah mereka siap dibina kembali,” katanya.

Skuad Sukarelawan TTB sedang membersihkan Sekolah Kebangsaan Dabong yang dipenuhi lumpur
*****
Beliau ditemui pemberita semasa melawat tapak rumah transit di Dabong, semalam.

Turut hadir Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Mohd Zubir Embong, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan; Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Muhammad Pehimi Yusof, serta Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia, Dato’ Rozi Mamat.

Dalam masa yang sama, Skuad Sukarelawan TTB turut turun ke Sekolah Kebangsaan Dabong bagi membersihkan kawasan tersebut yang terjejas teruk dengan lumpur akibat banjir yang melanda batu-baru ini.

Ahmad Razif turut menyumbangkan sumbangan berupa barangan keperluan kepada mangsa banjir di Dabong seperti bekalan air bersih, tikar, baju sekolah dan lain-lain.

Adun Dabong pula menerima cek bernilai RM100,000 untuk membantu mangsa-mangsa di kawasan tersebut.

Teganukita

No comments:

Post a Comment