Páginas

Tuesday 13 January 2015

MB Janji Terus Beri Komitmen Pulihkan Dabong

Author: Mohd Syazni Zainudin 11 January 2015 

 Dato’ Ahmad Razif melawat tapak rumah sementara di Dabong. Gambar oleh Harish Fazillah
*****
Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berjanji  untuk memberi sepenuh komitmen membantu mangsa banjir di Dabong, Kelantan selepas   terkesan menyaksikan sendiri kesan kemusnahan akibat bencana lebih tiga minggu lalu.
Ahmad Razif berkata, Terengganu akan mengerahkan khidmat dan  bantuan  untuk membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup khususnya memastikan penduduk di kawasan terjejas banjir itu mempunyai penempatan sementara yang lebih sesuai dan selesa dalam tempoh terdekat.

“Kerajaan negeri dengan kerjasama Dewan Perniagaan dan Perindustrian China Terengganu yang telah menyediakan peralatan termasuk kayu, papan lapis termasuk tenaga kerja kini sedang menyiapkan 21 buah rumah transit.

“Rumah ini dijangka akan siap esok (hari ini) jika tiada sebarang masalah dan diserahkan kepada mangsa yang rumahnya musnah akibat bencana tersebut sementara rumah mereka siap dibaiki,” katanya.

Beliau ditemui pemberita semasa melawat tapak rumah transit di Dabong, semalam.

Turut hadir isteri Menteri Besar, To’ Puan Halina Zakaria, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Mohd Zubir Embong, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan; Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Muhammad Pehimi Yusof dan Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Rozi Mamat.

Hadir sama, Adun Dabong, Dato’ Ramzi Ab Rahman.

5Ahmad Razif berkata sumbangan berkenaan membuktikan ramai dermawan dan sukarelawan dari Terengganu mampu berganding bahu dalam membantu rakyat Kelantan apabila ditimpa musibah.

“Ini akan menjadi satu konsep Transformasi Terengganu Baharu (TTB) supaya semua pihak akan saling berganding, mempunyai semangat solidariti dalam kita menghadapi bencana atau apa saja permasalahan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Razif berkata Skuad Sukarelawan TTB akan terus tinggal di penempatan itu secara bergilir-gilir sehingga tempoh sebulan bagi membantu membersihkan rumah, sekolah, surau, masjid  dan kemudahan awam di situ.

“Skuad Sukarelawan TTB akan berkampung di sini selama sebulan (bergilir-gilir) bagi membantu membersihkan kawasan di sini yang amat teruk terjejas dan saya akan serahkan kepada Dato’ Rozi Mamat supaya selaraskan jadual mereka,” katanya.

Teganukita

No comments:

Post a Comment