Páginas

Monday 23 February 2015

5,000 Nelayan Terengganu Terima RM200 Sebulan

AUTHOR: FAUZI MOHD | 22 FEBRUARY 2015 


Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah mengagihkan bantuan ehsan kepada kira-kira 5,000 nelayan di Terengganu melibatkan peruntukan kira-kira RM12 juta tahun lepas.

Pengarah LKIM Terengganu, Mohd Zaid Mohd Nor berkata, setiap nelayan yang berdaftar, mempunyai lesen dan aktif ke laut, akan menerima bantuan ehsan RM200 sebulan.


“Di Terengganu terdapat kira-kira 10,730 nelayan, namun ada yang tidak berdaftar dengan LKIM, tidak mempunyai lesen dan tidak aktif ke laut, maka mereka ini kita tidak layak untuk mendapat bantuan berkenaan.

“Bantuan itu diteruskan macam biasa tahun ini,” katanya.

Mohd Zaid berkata, mulai tahun ini LKIM turut mengadakan program bantuan bakul di mana setiap nelayan yang mempunyai lesen dan berdaftar akan menerima bantuan berkenaan masing-masing bernilai RM100 seorang.

“Selepas selesai hal-hal pentadbiran, kita akan agihkan bantuan kepada nelayan yang layak,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zaid berkata LKIM turut menyediakan peruntukan kira-kira RM1.2 juta bagi program Azam Tani dalam usaha meningkatkan hasil pendapatan nelayan untuk keluar dari garis kemiskinan.

Katanya, bagi program itu setiap nelayan layak memperolehi bantuan sehingga RM10,000 bagi mendapatkan enjin dan bot untuk keperluan mereka menangkap ikan.

“Namun ada juga nelayan mahu bantuan berkenaan dijadikan modal berniaga kecil-kecilan kepada isteri mereka bagi menjana pendapatan keluarga. Dengan cara itu ia mampu meningkatkan pendapatan dan keluar dari garis kemiskinan,” katanya.

Mohd Zaid berkata nelayan yang mahukan bantuan melalui program Azam Tani, mereka disyaratkan mendaftar melalui e-Kasih di tempat masing-masing bagi melayakkan mereka mendapat bantuan berkenaan.

Teganukita

No comments:

Post a Comment