Doktor memeriksa keadaan kesihatan Munah di rumahnya di Felda Tenang, pagi kelmarin. Doktor memeriksa keadaan kesihatan Munah di rumahnya di Felda Tenang, pagi kelmarin.
*****
FELDA TENANG - Susulan laporan Sinar Harian pada 1 Februari lalu mengenai penderitaan seorang warga emas, Munah Abdullah, 61, yang perutnya membesar sejak 12 tahun lalu, dua doktor ke rumahnya, di sini, untuk menjalankan pemeriksaan, pagi kelmarin.Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr Mohamad Omar berkata, dua pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Pasir Akar diarahkan untuk menjalankan pemeriksaan terhadap wanita itu.
Menurutnya, hasil pemeriksaan awal mendapati wanita itu berkemungkinan mengalami masalah ketumbuhan di dalam perutnya dan dia diminta ke hospital untuk mengikuti pemeriksaan lanjut.
“Bagaimanapun, pesakit dan keluarganya setakat ini enggan ke hospital, sebaliknya berkeras mahu berubat secara tradisional.
“Malah, Munah pernah mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu ketika peringkat awal. Dia tidak mahu dibedah dan minta pulang menjalani rawatan secara tradisional sehingga sekarang,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi JKKK Felda Tenang, Tengku Heng Ku Besar melahirkan kekesalan kerana ada pihak melemparkan tuduhan yang masyarakat Felda Tenang dan kepimpinan di Hulu Besut tidak mempedulikan keluarga Munah.
Menurutnya, tuduhan pihak tertentu di laman sosial terutama Facebook dengan mengatakan pemimpin dan penduduk Felda tersebut tidak mempedulikan Munah, amat dikesali.
“Jiran pernah menasihati keluarga terbabit agar mendapatkan rawatan di hospital, namun pesakit dan suaminya tidak bersetuju.
"Saya dan Adun Hulu Besut, Nawi Mohamad juga pernah beberapa kali melawat Munah di rumahnya, malah Nawi telah dua kali menghulurkan bantuan baik pulih rumah Munah bernilai RM17,000," katanya.
Terbaharu, kata Tengku Heng, Nawi turut meluluskan peruntukan membaiki bilik air dan tandas rumah Munah.
Beliau memaklumkan hal itu untuk menjelaskan bahawa masyarakat sentiasa mengambil berat mengenai keluarga Munah.
Sinar Harian 4 Feb 2015
No comments:
Post a Comment