Páginas

Monday 9 February 2015

Terengganu Selaras Peranan JKKK Dan JPP

AUTHOR: AIDA ABD RAHMAN | 7 FEBRUARY 2015 


Kerajaan negeri akan menyelaras peranan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK)  dengan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) supaya tidak berlaku pertindihan dan kedua-duanya mampu memberi manfaat secara maksimum untuk kepentingan rakyat seluruh Terengganu.

Menteri Besar, Dato’Ahmad Razif Abd Rahman, berkata penyelarasan semula fungsi kedua-dua jawatankusa di peringkat negeri  yang menjadi medium menghubungkan masyarakat dengan kerajaan akan dilaksanakan secepat mungkin, memandangkan kedua-dua entiti itu memberi sumbangan yang sangat penting kepada masyarakat di peringkat kampung mahupun bandar.

“Kita mahu memastikan dua kepimpinan ini akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk memastikan kepentingan rakyat itu kita akan utamakan.

“Jadi Insha-Allah perkara ini akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat ini,”katanya.

Menteri Besar berkata demikian kepada pemberita di Majlis Perhimpunan Perdana JKKK Peringkat Negeri Zon 2 2015, di Stadium Tertutup, Gong Badak, Kuala Nerus.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda; Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian Dan Perdagangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, A Latiff Awang.

Majlis itu turut dihadiri 3,300 kepimpinan dan ahli JKKK dari daerah Hulu Terengganu dan Marang.

Dalam pada itu, kerajaan negeri akan menghantar semua pengerusi JKKK khususnya 40 peratus daripada pemimpin badan itu yang merupakan muka baru, menghadiri kursus pentadbiran bagi memastikan mereka memiliki pengetahuan mengendalikan organisasi dan mesyuarat di peringkat jawatankuasa masing masing-masing.

“Kita akan mula membuat kursus kepada jentera JKKK supaya mereka memahami peranan dan fungsi JKKK itu sendiri, memandangkan sebahagian besar daripada mereka adalah terdiri daripada muka baru yang jelas ini merupakan pengalaman pertama mereka.

“Jadi saya yakin, bahawa mereka masih banyak memerlukan makluman dan ini akan diuruskan oleh YB A Latiff untuk menghantar kursus pentadbiran, bagaimana untuk mengendalikan mesyuarat dan sebagainya,”katanya.

Sementara itu, JPP  juga berperanan seperti JKKK sebagai entiti antara kerajaan dengan masyarakat, bagaimanapun JPP lebih kepada konteks bandar yang setiap kawasan PBT terdiri daripada 24 zon pemantauan yang dianggotai seorang pengerusi, seorang setiausaha dan lapan anggota jawatankuasa.

JPP pada masa yang sama juga menjadi penggerak untuk menyatupadukan masyarakat dalam bandar dengan menjadi wakil kerajaan bagi menjelaskan mengenai dasar kerajaan, seperti isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang hangat diperkatakan sekarang.

Teganukita

No comments:

Post a Comment