Páginas

Monday 2 February 2015

Puteri UMNO Sasar 80,000 Keahlian, Daftar Pemilih

AUTHOR: MOHD SYAZNI ZAINUDIN | 1 FEBRUARY 2015

 

Puteri UMNO menyasarkan 80,000 keahlian dan daftar pemilih baharu tahun ini selaras dengan usaha untuk memperkasakan jentera Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14.

Ketuanya, Dato’ Mas Ermieyati Samsudin berkata, jumlah itu mampu dicapai berdasarkan keberkesanan pendekatan program ‘Kick Off Keahlian dan Operasi Daftar Pemilih #OpsDP’ yang merupakan salah satu kempen dalam menarik penyertaan lebih ramai wanita muda dalam Puteri.


“Kita menyasarkan setiap 191 Puteri UMNO Bahagian menambah seramai 40 ahli baharu dan 40 daftar pemilih setiap bulan.

“Jumlah ahli Puteri di seluruh negara setakat ini adalah 392,411 orang dan saya telah menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) untuk mencapai sehingga 500,00 ahli dalam penggal ini dan saya yakin jumlah itu mampu direalisasikan,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita dalam majlis pelancaran program yang disempurnakan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman di Balora, Bandar Al-Mukhtafi Billah Shah, semalam.

Hadir sama, Ketua Puteri UMNO Negeri, Rozita Ismail; Ketua UMNO Bahagian Dungun, Dato’ Din Adam; Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi dan Naib Ketua Puteri UMNO Malaysia, Zahida Zarikh Khan.


Program secara serentak oleh Puteri UMNO bahagian di seluruh negara itu diadakan di semua pasar malam dan pasar tani terpilih.

Sementara itu, Mas Ermieyati memberitahu, ahli-ahli telah diminta menunjukkan komitmen tinggi termasuk kesediaan membuka kaunter sekurang-kurangnya dua kali dalam sebulan.

“Melalui cara ini mereka (Puteri) boleh membuka kaunter di mana-mana lokasi sama ada pasar tani, pasar malam mahu pun pusat beli-belah bagi memudahkan orang ramai untuk mendaftar secara ‘walk in’ selain pendaftaran secara dalam talian (online),” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mas Ermieyati berkata, pemilihan Dungun sebagai lokasi pelancaran adalah kerana kejayaan bahagian itu mencatatkan jumlah keahlian baharu tertinggi pada tahun lalu.

“Jadi sebagai penghargaan kita memilih Terengganu sebagai lokasi pelancaran,” katanya.

Teganukita

No comments:

Post a Comment