Páginas

Wednesday 25 February 2015

Madrasah Moden Pertama Dibuka Di Terengganu 1 April

AUTHOR: NORAINI JUSOH | 24 FEBRUARY 2015


Madrasah moden yang pertama di Terengganu akan dibuka bermula 1 April ini seiring dengan hasrat kerajaan negeri bagi membangunkan sebanyak mungkin sekolah pondok moden di negeri ini.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata, langkah itu sejajar dengan usaha kerajaan negeri dalam menjadikan Terengganu sebagai negeri Anjung Ilmu.


“Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) setuju untuk memberikan tapak Sekolah Agama Batu Rakit yang dulu dijadikan madrasah moden pertama di Terengganu yang akan dibuka 1 April ini.

“Tindakan drastik telah diambil oleh pihak Maidam dengan mengeluarkan iklan untuk ambil pelajar tingkatan satu tanpa mengira kelayakan akademik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Al-Hiwar Agamawan Bersama YAB. Menteri Besar di Kediaman Rasmi Menteri Besar di Seri Iman,  Kuala Terengganu, malam tadi.

Katanya, peluang dibuka kepada pelajar yang kurang cemerlang dalam akademik tetapi mempunyai minat untuk belajar agama.

“Pelajar yang tiada keputusan cemerlang dalam UPSR mungkin yang dapat 5E tetapi pandai mengaji dan berminat boleh masuk ke madrasah ini,” katanya.

Menurut beliau, buat permulaan peluang dibuka kepada pelajar lelaki sahaja di mana 200 orang akan tinggal di asrama yang disediakan untuk mereka belajar agama.

Dalam perkembangan lain katanya, sekolah pondok moden iaitu Desa Taqwa di Kampung Telemong khusus untuk memberi peluang kepada golongan pesara dan veteran mendalami ilmu agama juga akan dibuka dalam masa terdekat.

“Sekolah pondok berkenaan yang dilengkapi pelbagai prasarana termasuk asrama, dewan dan bilik kuliah kini sudah siap sepenuhnya dan ia dijangka mula beroperasi pada bila-bila masa sahaja.

“Sepanjang bulan puasa nanti, golongan veteran boleh mengikut program keagamaan di madrasah ini yang akan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti keagamaan termasuk majlis berbuka puasa, sembahyang terawih, qiamulai dan sebagainya secara berjemaah,” katanya.

Teganukita

No comments:

Post a Comment