Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata, usaha itu penting dalam memastikan rakyat negeri ini sentiasa berwaspada terhadap cuaca kering dan berpanjangan yang bukan sahaja berisiko terhadap kesihatan masing-masing bahkan juga ekosistem serta kawasan pertanian.
“Cuaca panas di Terengganu kelak mungkin tidak sekritikal di negeri lain berikutan tahap pencemaran yang masih terkawal, malah masalah air juga tidak ketara berikutan sumber air yang mencukupi.
“Bagaimanapun, pihak kerajaan negeri telah mengarahkan Kementerian Kesihatan untuk memantau situasi semasa disamping menyediakan persiapan tentang implikasi kesan daripada kepanasan yang meningkat,” katanya.
Beliau mengulas laporan akhbar berhubung negara dijangka bakal berdepan cuaca panas melampau bermula minggu depan sehingga awal April ini berikutan fenomena Ekuinoks yang menyebabkan matahari berada tepat di atas garisan khatulistiwa.
Beliau ditemui selepas menyusuri Sungai Terengganu menggunakan TTI River Cruise di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Turut hadir isteri Menteri Besar, To’ Puan Halina Zakaria, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda, Datuk Bandar Kuala Terengganu, Mohamad Kamil Othman serta Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee.
Musim panas ekstrem itu boleh memberi tekanan fizikal kepada tubuh badan dan kesihatan manusia termasuk menyebabkan kematian seperti strok haba.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Razif memberitahu akan mengambil perhatian keperluan-keperluan bersantai yang perlu dinaik taraf di pulau-pulau di negeri ini sejajar dengan kedatangan musim panas tersebut.
“Kebiasaannya, kita akan dapat permintaan tinggi dalam kalangan pelancong untuk datang ke Terengganu terutama ke pulau dalam tempoh ini,” katanya.
Teganukita
No comments:
Post a Comment