Páginas

Monday 9 February 2015

Pandu Puteri Sumbang RM1.33 Juta Sekolah Terjejas Banjir Di Terengganu

AUTHOR: MOHD SYAZNI ZAINUDIN | 8 FEBRUARY 2015


Datin Paduka Seri Rosmah Mansor menyampaikan sumbangan kepada pelajar Sekolah Kebangsaan RKT Seberang Tayor, Air Putih. FOTO oleh Harish Fadzillah.
*****
Isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor tiba di Kemaman hari ini bagi menyampaikan bantuan kepada mangsa yang terlibat dengan musibah banjir yang berlaku awal Januari lalu.

Beliau yang juga Yang Dipertua (YDP) Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) dan YDP Pandu Puteri Malaysia menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir yang terdiri daripada pelajar, guru, kakitangan sokongan sekolah dan masyarakat setempat.

Rosmah memulakan lawatannya ke Sekolah Kebangsaan RKT Seberang Tayor, Air Putih setibanya beliau pada jam 11.30 pagi tadi diikuti ke Dewan Sivik Felda Seberang Tayor.

Hadir mengiringi beliau Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman dan isteri, To’ Puan Halina Zakaria, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda, Speaker Dewan Undangan Negeri,  Dato’ Mohd Zubir Embong  serta YDP Persatuan Pandu Puteri negeri ini, Tengku Datin Seri Ramlah Azizah Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Turut hadir, isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman merangkap Timbalan Yang Dipertua Bakti dan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar merangkap Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Cawangan Pahang.

Terdahulu, Rosmah yang juga Yang Dipertua PPPM menyampaikan bantuan sebanyak RM1.33 juta daripada persatuan itu kepada 69 buah sekolah yang terjejas banjir di negeri ini.

Penerima bantuan merangkumi 29,257 murid sekolah rendah dan menengah diikuti 3,080 orang guru serta 541 kakitangan sokongan.

Semasa lawatan itu, Bakti turut menyampaikan bantuan baju T, kain pelikat, kain batik, sejadah, telekung dan tuala yang bernilai RM190,000 kepada 2,000 buah keluarga di daerah ini yang terlibat dalam bencana banjir.

Selain Bakti, bantuan juga disumbangkan oleh Tabung Kesejahteraan Kanak-kanak Sedunia dan beberapa buah syarikat swasta termasuk Gamuda Berhad, Sunway Group, YTL Corporation Berhad, Yayasan Albukhary, Berjaya Corporation Berhad, Malaysia Resources Corporation Berhad, Permata dan Pasaraya Giant.

Teganukita

No comments:

Post a Comment