Páginas

Monday 2 February 2015

70 Sertai Bengkel Majlis Perundingan Rakyat DUN Jertih

AUTHOR: MOHAMAD ISHAK | 1 FEBRUARY 2015 

Haji Nawi dan Haji Pehimi bergambar selepas penutup bengkel.
*****
Bengkel Majlis Perundingan Rakyat (MPR) Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih yang berlangsung di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu, semalam berjaya menghalusi pelbagai isu setempat yang dicetuskan oleh peserta untuk diambil tindakan pihak terbabit.

Bengkel sehari  itu disertai 70 peserta mewakili pelbagai badan termasuk  pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan pemimpin komuniti.

Majlis Perundingan Rakyat (MPR) yang dicetuskan oleh Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, bertujuan menggerakkan jentera akar umbi untuk mengenal  pelbagai permasalahan rakyat meliputi aspek pembangunan, sosial, agama, pendidikan, kesihatan dan pembangunan insan akan dijadikan asas untuk pembangunan dalam Transformasi Terengganu Baharu (TTB).

DUN Jertih mengambil tindakan menganjurkan bengkel itu untuk mengumpul data dan maklumat terkini mengenai keperluan rakyat di kawasan masing-masing kemudian dibentangkan dalam bengkel dan semua rumusan akan diserahhkan kepada kerajaan negeri untuk diambil tindakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Muhamad Pehimi Yusof yang juga Ahli Exco Kerajaan Negeri, berharap bengkel yang turut dihadiri pegawai mewakili jabatan kerajaan termasuk Pejabat Daerah Besut, Majlis Daerah Besut, Pejabat Kerja Raya Daerah, Jabatan Pengairan dan Saliran dan wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dapat mendengar sendiri permasalahan yang dibangkitkan peserta.

Katanya, pihaknya menyahut saranan Menteri Besar menganjurkan bengkel MPR dan menjadi DUN pertama di daerah Besut mengambil daya usaha mengadakan bengkel berkenaan.

Exco Kerajaan Negeri, Nawi Mohamad yang juga ADUN Hulu Besut merasmikan upacara penutup bengkel berkenaan.

Beliau berpuas hari dengan pelbagai cadangan dan resolusi yang dibentangkan oleh peserta menerusi wakil kumpulan masing-masing terutama dalam usaha membangunkan Bandar Jertih yang menjadi pintu masuk utama ke negeri ini melalui utara.

“Antara isu utama yang dibangkitkan dalam MPR itu ialah mencadangkan kerajaan membina laluan bertingkat di Bandar Jertih bagi mengatasi masalah kesesakkan trafik yang berlaku pada setiap hujung minggu,” katanya.

Teganukita

No comments:

Post a Comment