Páginas

Monday 16 March 2015

Borang SSPN-i Mula Diedar

AUTHOR: NORAINI JUSOH | 16 MARCH 2015


Borang permohonan bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) untuk anak kelahiran Terengganu mula diedar kepada orang ramai sejak 10 Mac lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Muhammad Pehimi Yusof berkata, borang boleh didapati di kesemua Pejabat Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) di setiap daerah atau Pusat Khidmat Masyarakat ADUN seluruh Terengganu.


“Pemberian insentif sebanyak RM100 yang dibuat dalam bentuk SSPN-i bagi setiap bayi yang lahir bermula 1 Januari hingga 31 Disember tahun ini merupakan hadiah daripada kerajaan negeri seperti diumumkan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman ketika membentangkan Bajet 2015.

“Selain meraikan kanak-kanak dengan harapan dapat menyumbang perkembangan positif kepada pembangunan negeri selaras dengan kehendak prinsip kelapan Transformasi Terengganu Baharu iaitu Memperkasa Pendidikan, ia juga sebagai galakan kepada ibu bapa melakukan tabungan pembelajaran bermula dari awal kelahiran bagi memudahkan mereka membiayai pendidikan anak-anak di masa hadapan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Taklimat Program Baru Yayasan Pembangunan Masyarakat Terengganu di Pejabat YPKT, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Pengarah YPKT, Mohd Shafaruddin Mustaffa.

Katanya, syarat penerima ialah ibu atau bapa mestilah anak kelahiran Terengganu dan bayi tersebut harus lahir di mana-mana hospital di negeri ini.

“Borang permohonan perlu dikemukakan bersama salinan kad pengenalan ibu bapa, sijil perkahwinan dan sijil kelahiran kanak-kanak terbabit.

“Permohonan boleh dibuat dalam tempoh tiga bulan dari tarikh kelahiran dimana pemohon wajib mengisi borang SSPN-i dan dilampirkan bersama borang permohonan,” ujarnya.

Menurut beliau, pengagihan insentif berkenaan akan diselaraskan oleh YPKT setelah dibuat permohonan oleh pihak ibu bapa dan mendapat pengesahan daripada JKKK atau pemimpin masyarakat kawasan masing-masing.

Teganukita

No comments:

Post a Comment