Halina memakaikan lencana pada vest Ketua Pergerakan UMNO Wanita Bahagian, To’Puan Zaitun Mat Amin di majlis pelancaran Vest Skuad Sayang Wanita Umno Bahagian Marang, di Dewan Sivik Binjai Rendah, Marang. Foto oleh Tg Syamin Tg Ismail
*****
Jentera UMNO Terengganu `masih tidur’ kerana belum bangkit daripada kegagalan lalu, tegas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Dato’Ahmad Razif Abd Rahman.Beliau yang juga menteri besar berkata, semua pemimpin dan ahli UMNO hari ini tidak perlu menyalahkan serta mengulangi kesilapan sebelum ini sebaliknya kesilapan itu perlu menjadi panduan berguna untuk bangkit semula serta mengubah keputusan yang jauh lebih baik pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
“Jadi kita mahu sekarang ini semua orang UMNO buang habis semua perkara lalu kerana yang lalu itu perlu dijadikan sebagai panduan dan sempadan. Jadi kita kena bangkit.
“Sekarang ini saya nampak sebahagian jentera UMNO masih tidur. Kita melihat sejarah yang lalu bahawa kawasan Marang kita pernah dapat semua (kerusi)..Hatta Palimen Marang pun kita pernah menang, Rhu Rendang kita juga pernah dapat dulu. Jadi bermakna tiada sebab untuk kita tidak mampu merampas semua semula,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan dan menyampaikan Vest Skuad Sayang Wanita Umno Bahagian Marang, di Dewan Sivik Binjai Rendah, Marang, kelmarin.
Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ PuanHalina Zakaria dan Ketua UMNO Bahagian Marang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, A Latiff Awang.
Ahmad Razif berkata, apa yang utama pada masa kini adalah mengatur strategi dan melakukan kerja dengan lancar serta tersusun termasuk membangkitkan semula semangat di kalangan jentera parti berdasarkan jumlah sebenar ahli UMNO.
“Kekuatan jentera UMNO ini bergantung kepada angka dan bilangannya. Jika kita ada kekuatan 3,800 orang, biar semua ini berfungsi. Kalau 3,800 tidak berfungsi, kena tukar.
“Kita tidak boleh tunggu dan kalau nampak yang ada setengah jentera kita berharap menjadi jentera tapi nampak tidak memberi kekuatan malah menjadi tanggungan kepada UMNO, apatah lagi mereka ini yang selalu membangkang pemimpin UMNO maka mereka ini boleh keluar (dari parti),”tegas beliau.
Tambah beliau, jika terdapat pemimpin dan ahli UMNO yang dikesan melakukan kesalahan, beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan termasuk menghantar laporan kepada Lembaga Disiplin UMNO.
Susulan itu, beliau meminta semua Ketua UMNO Bahagian memberi kerjasama untuk mengemukakan bukti supaya setiap salah laku yang dikesan di kalangan anggotanya dibawa kepada pihak tertinggi UMNO.
Menurutnya, pembersihan dan pemutihan semula jentera termasuk mengeluarkan `pembangkang’ mampu memperkasakan semula parti untuk memastikan UMNO dan Barisan Nasional menang dengan selesa pada PRU14.
Teganukita
No comments:
Post a Comment