Páginas

Sunday 1 March 2015

GST Lahir Warga Patriotik

AUTHOR: AIDA ABD RAHMAN | 18 FEBRUARY 2015 


GST akan menggantikan cukai kepenggunaan sedia ada iaitu Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) yang dikenakan secara tidak langsung kepada rakyat.

Bagaimanapun, rakyat tidak menyedari  mereka  sudah  membayar SST  yang dilaksanakan sebelum ini, dengan kadar lima, enam dan 10 peratus, kata Timbalan Menteri Kewangan,  Dato’Ahmad Maslan.


“Kebanyakan pengguna  tahu mereka membayar SST  apabila pergi KFC (kedai makanan segera),  hotel-hotel,  restoran besar dan (perkhidmatan)  Astro apabila dikenakan  enam peratus cukai perkhidmatan.

“Tetapi kadar yang 10 peratus untuk  pakaian, kereta, barangan elektrik, perabut dan mereka sudah membayar secara tidak langsung yang dikutip oleh kastam itu, mereka tidak menyedari bahawa mereka membayarnya (sebelum ini),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media sempena lawatan kerja ke Jabatan Kastam Diraja (JKDM) Terengganu ,  Kuala Terengganu, hari ini.

Ahmad berkata, apabila tiada pengetahuan dan kesedaran mengenai perkara itu menyebabkan orang ramai tidak menyedari realiti sebenar bahawa mereka sudah membayar cukai SST sebelum ini.

Katanya, apabila GST dikuatkuasakan bermula 1 April ini rakyat mendapat peluang baru untuk melahirkan warga yang lebih patriotik menerusi pembayaran cukai berkenaan.

“Warga yang membayar cukai adalah warga yang patriotik. Jadi kita menambah bilangan mereka yang patriotik kerana membayar cukai GST. Jika tidak bagaimana kita boleh membangunkan negara tanpa cukai,”katanya.

Menurutnya, rakyat  perlu membayar cukai supaya kerajaan boleh membiayai pembangunan sosio ekonomi termasuk menyediakan infrastruktur, pendidikan ,penjagaan kesihatan, kebajikan dan keselamatan negara.

Tambah beliau, kerajaan dijangka mengumpul RM24 bilion berbanding RM23 bilion hasil pelaksanaan GST bermula April ini disebabkan oleh pertambahan pendaftaran GST daripada 240,000 entiti perniagaan kepada 316, 785 sehingga semalam.

GST dikenakan ke atas bekalan barangan dan perkhidmatan di setiap peringkat rantaian bekalan daripada pembekal sehingga peringkat peruncit.

Walaupun GST dikenakan di setiap peringkat rantaian bekalan, elemen cukai tidak menjadi sebahagian daripada kos produk kerana cukai input boleh ditolak oleh perniagaan di langkah seterusnya dalam rantaian bekalan.

GST  adalah cukai kepenggunaan yang meluas meliputi semua sektor ekonomi iaitu semua barang dan perkhidmatan yang dibuat di Malaysia dan  diimport kecuali barang dan perkhidmatan tertentu yang dikategorikan di bawah perintah pembekalan berkadar sifar dan perintah pembekalan dikecualikan sebagaimana yang ditentukan oleh Menteri Kewangan dan disiarkan dalam Warta.

Teganukita

No comments:

Post a Comment