Páginas

Monday 16 March 2015

Rai Pengantin Baru Menerusi Majlis Resepsi Walimah Perdana 1 Terengganu

AUTHOR: NORAINI JUSOH | 15 MARCH 2015 

Muhammad Pehimi Yusof
*****
Kerajaan negeri akan memperkenalkan sebuah program baharu iaitu Majlis Resepsi Walimah Perdana 1 Terengganu untuk meraikan pasangan pengantin baru yang melangsungkan perkahwinan sepanjang tahun lalu dan masih bergelar suami isteri sehingga kini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Muhammad Pehimi Yusof berkata, pasangan suami isteri yang hadir ke majlis resepsi itu juga akan dihadiahkan dengan Sijil Simpanan Pendidikan Nasional bernilai RM200 dalam akaun bersama untuk memupuk sikap suka menabung di peringkat awal mendirikan rumahtangga.



“Program ini bertujuan menghargai kejayaan suami isteri baharu ini mengekalkan kerukunan rumah tangga mereka selepas enam bulan bernikah dan berharap ia akan berkekalan seterusnya mengukuhkan lagi institusi kekeluargaan di kalangan rakyat Terengganu.

“Ini kerana berdasarkan rekod tahun 2014, sebanyak 125 kes perceraian berlaku di antara suami isteri dalam tempoh setahun perkahwinan dan angka ini sangat menakutkan. Sebab itu kita membuat program baru ini untuk terus membimbing suami isteri bharu melayari perkahwinan yang bahagia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Taklimat Program Baru Yayasan Pembangunan Masyarakat Terengganu di Pejabat YPKT, hari ini.

Turut hadir, Pengarah YPKT, Mohd Shafaruddin Mustaffa.

Sepanjang tahun lalu, sebanyak 11,415 perkahwinan telah direkodkan manakala kes perceraian yang berlaku tahun lalu melibatkan sebanyak 2,455 pasangan di mana 125 pasangan bercerai selepas setahun berkahwin manakala 838 kes perceraian melibatkan perkahwinan melebihi usia lima tahun.

Muhammad Pehimi berkata, majlis resepsi itu akan turut menjemput pengantin, ibu bapa dan ibu bapa mertua yang akan diraikan oleh pemimpin di peringkat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dan dilakukan secara berperingkat di seluruh negeri.

“Walaupun terdapat 11,415 pasangan suami isteri baharu sepanjang tahun lalu, namun majlis resepsi ini hanya untuk mereka yang boleh memberikan komitmen hadir sahaja untuk melayakkan mereka menerima hadiah itu.

“Selain hadiah simpanan RM200, mereka akan turut diberi input dari segi ilmu dan bimbingan perkahwinan agar ikatan itu kekal ke akhir hayat seterusnya melahirkan generasi cilik yang berakhlak dan mempunyai keluarga bahagia,” katanya.

Mereka yang ingin menyertai program ini boleh mendapatkan borang di Pejabat YPKT setiap parlimen dengan syarat salah seorang pengantin mestilah rakyat Terengganu.

Teganukita

No comments:

Post a Comment