Ahmad Razif bersalaman dengan tetamu pada Majlis Makan Malam Pegawai Kanan Kerajaan Persekutuan Bersama Kepimpinan Negeri, di Pulau Duyung, Kuala Terengganu, malam tadi. Foto: Harish Fadzillah
*****
Kerajaan negeri bercadang menukar konsep Rumah Mampu Milik (RMM) yang membabitkan kos RM60,000 hingga RM80,000 seunit bagi mengantikan rumah di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT).Menteri Besar Dato’Ahmad Razif Abd Rahman berkata kira-kira 400 keluarga yang dikategorikan sebagai miskin tegar diberi keutamaan untuk memiliki RMM itu dengan mengenakan beberapa syarat mudah.
Katanya, keluarga terpilih perlu memiliki tanah, selain disaran membuat pinjaman antara RM20,000 hingga RM40,000 melalui jabatan berkaitan sebagai tambahan kepada peruntukan yang disediakan kerajaan bernilai RM40,000.
“Kediaman RMM secara berkelompok turut dibina di kawasan bersesuaian bagi membantu keluarga yang tidak mempunyai tanah.
“Mereka tidak perlu risau dengan pinjaman yang dibuat kerana bayaran balik yang dikenakan hanya RM60 hingga RM80 sebulan dan perlu diselesaikan dalam tempoh 20 atau 25 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Pegawai Kanan Kerajaan Persekutuan Bersama Kepimpinan Negeri, di Pulau Duyung, Kuala Terengganu, malam tadi.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’Osman Muda dan Pegawai Kemajuan Negeri, Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu (PPPNT), Dato’ Nik Nasarudin Mohd Zawawi.
Ahmad Razif turut memberitahu, berdasarkan pemantauan yang dilaksanakan, rumah PPRT yang diagihkan sebelum ini tetap tidak membantu golongan itu untuk berada di tahap kehidupan lebih selesa.
Katanya, mereka beranggapan rumah itu, hanya sesuai untuk orang miskin, di mana tidak perlu bersusah payah mencari pendapatan lain untuk memulih ekonomi keluarga.
“Konsep dan anggapan ini, kita akan tukar supaya mereka ada semangat untuk berjaya dan berdisplin membayar pinjaman yang dibuat.
“Kerajaan akan terus membantu dalam apa jua keadaan, termasuk membantu membuka perniagaan kecil-kecilan di kawasan perumahan, supaya sasaran Terengganu Sifar Miskin dalam tempoh lima tahum akan datang mampu dicapai,” katanya.
Teganukita
No comments:
Post a Comment