Páginas

Wednesday 25 March 2015

Tiga Soalan Kepada Penjawat Awam

AUTHOR: AIDA ABD RAHMAN | 25 MARCH 2015


Kepimpinan tertinggi negeri yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda memilih Setiu sebagai daerah perintis bagi program lawatan kerja dan turun padang menemui penjawat awam di peringkat akar umbi.

Lawatan itu juga bersempena program Majlis Tilawah al- Quran Peringkat Negeri Terengganu, yang berlangsung di Stadium Mini, Sungai Tarom Setiu, bermula malam tadi.


Osman ketika berucap turut mengajukan tiga soalan kepada penjawat awam sebagai menguji sejauh mana mutu dan kualiti perkhidmatan awam sehingga kini.

“Syabas kepada Tuan pegawai Daerah Setiu bersama barisan urusetia kerana telah berjaya menyelaras dan mengumpulkan lebih dari 1,000 orang penjawat awam untuk hadir bersama-sama barisan kepimpinan pentadbiran negeri.

“Namun yang demikian, kepada hampir 1,000 penjawat awam yang berada di hadapan saya, terdapat tiga persoalan yang ingin saya tanyakan di sini iaitu;

1. Di atas kapasiti anda sebagai penjawat awam, adakah anda telah memberikan hasil kerja terbaik dalam membina sebuah negeri yang cemerlang?

2. Adakah anda telah dilengkapkan dengan kemahiran dan pengetahuan khusus serta adakah pengalaman kerja anda mampu menjadikan anda seorang penjawat awam yang bernilai sebagai aset kerajaan?

3. Adakah anda berusaha untuk melaksanakan kerja yang diarahkan dengan hasrat memberi faedah yang besar kepada rakyat selaku pelanggan utama?

“Pertanyaan itu bukan bermaksud memberi provokasi namun inilah realiti cabaran pada masa kini di sektor awam yang harus dilalui oleh semua penjawat awam tanpa mengira pangkat, tempat dan juga personaliti,” katanya di Majlis Bersama SUK Terengganu Dengan Pegawai dan Kakitangan Kerajaan Daerah Setiu, di Dewan Serbaguna Sungai Tarom, Setiu, semalam.

Turut hadir sempena lawatan itu, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail;  Pengarah Tanah dan Galian Negeri Terengganu, Mohamad Nor Ibrahim;  Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan),  Samiun Salleh dan Pegawai Daerah Setiu, Talaha Ali.

Tambah beliau, cabaran yang sedang dihadapi kini selaku penjawat awam tidak terhad kepada apa yang berada di depan mata sehari-hari, namun ia lebih daripada itu.

Katanya, cabaran juga melibatkan perubahan-perubahan polisi,  tekanan fiskal ,  kehendak dan ekspektasi yang tinggi daripada rakyat serta keperluan kepada sektor awam itu sendiri bagi memenuhi tuntutan prestasi yang tinggi.

Teganukita

No comments:

Post a Comment