Páginas

Monday 2 March 2015

Terengganu Muncul Negeri Terbaik STPM 2014


Terengganu muncul sebagai negeri terbaik dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2014 dengan mencatat Min Purata Nilai Gred Kumulatif (Min PNGK) 2.74 berbanding hanya 2.58 pada 2013.

Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Zakaria Hussin berkata, peningkatan sebanyak 0.16 mata atau 6.20 peratus tersebut merupakan peningkatan yang sangat signifikan, sekaligus mengatasi Min PNGK yang dicapai peringkat Nasional iaitu 2.62 mata.


“Prestasi Min PNGK yang sangat cemerlang ini meletakkan negeri Terengganu terkehadapan mengungguli negara di dalam peperiksaan STPM kali ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pengumuman keputusan STPM di SMA (Atas) Sultan Zainal Abidin, hari ini.

Katanya, seramai 14 calon (0.70 peratus) berjaya mendapat keseluruhan A termasuk A- dalam semua mata pelajaran yang diambil. Daripada jumlah tersebut, seramai 12 calon (0.60 peratus) mendapat semua A iaitu PNGK 4.00 manakala dua calon (0.10 peratus) mendapat semua A- iaitu PNGK 3.67. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.44 peratus berbanding tahun 2013 yang hanya mencatat lapan orang (0.26 peratus).

Kata beliau lagi, jumlah peratusan calon yang mendapat 5 Prinsipal dan 4 Prinsipal (P) telah meningkat sebanyak 9.08 peratus iaitu 64.23 peratus iaitu dari 64.23 peratus pada tahun 2013 kepada 73.31 peratus pada tahun 2014.

“Sebanyak 185 calon (9.33 peratus) telah berjaya mendapat 5P berbanding tahun 2013 yang hanya mencatat 171 calon (5.70 peratus) iaitu peningkatan sebanyak 3.64 peratus. Bilangan calon yang berjaya mendapat 4P pula adalah sebanyak 1,268 calon (63.98 peratus) berbanding tahun 2012 iaitu 58.53 peratus meningkat sebanyak 5.45 peratus,” katanya.

Seramai 2,189 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan STPM pada tahun 2014. Daripada jumlah itu, seramai 1,982 orang (90.84%) adalah calon sekolah kerajaan, 25 orang (1.14%) calon sekolah swasta dan 5 orang (0.22%) calon persendirian individu.

Terengganu Times

No comments:

Post a Comment