Rata-rata pasangan pengantin yang diraikan secara serentak, semalam sangat gembira kerana mendapat penajaan sepenuhnya serta pelbagai insentif lain yang dianggap sebagai hadiah perkahwinan yang cukup bermakna buat mereka.
Malah, majlis itu juga dapat mempercepatkan lagi urusan perkahwinan tanpa perlu menunggu simpanan mencukupi untuk mengadakan kenduri besar-besaran di rumah masing-masing.
Bagi pasangan Mohd Abqari Amsyar Omar, 26, dari Kampung Kubang Parit, Kuala Terengganu dengan isterinya, Wani Wahida Mat Desa, 25, dari Banggol Tuan Muda, Manir, Kuala Terengganu juga bersyukur kerana terpilih menjadi peserta program yang jarang dilaksanakan di negeri lain itu.
“Kalau ikutkan perancangan kami, majlis memang bukan dalam waktu yang terdekat ini. Kami sudah bertunang sejak Februari tahun lalu dan sejak itu kami merancang untuk disatukan pada penghujung tahun ini serta perlu mengambil masa mengumpul duit, maklumlah perbelanjaan untuk majlis perkahwinan bukan sedikit.
“Bagaimanapun, hasil inisiatif kerajaan yang sentiasa mengambil berat dan prihatin dengan rakyat yang kurang berkemampuan, kami mendapat manfaat dan perkahwinan ini dapat disegerakan tanpa masalah,”kata Mohd Abqari.
Bagi pasangan Nurul Shahaida Mohamad, 28 dan Muhamad Fashli Jamil Hassan, 25, dari Kampung Bukit Tunggal pula sungguh teruja dapat diraikan secara serentak bersama pasangan lain dari seluruh Terengganu serta dihadiri pula pemimpin tertinggi negeri.
“Kami sangat bertuah dan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana menaja perkahwinan ini. Sekurang-kurangnya kami bukan sahaja dapat mempercepatkan perkara yang baik dan mengelak masalah sosial, malah dapat menggunakan wang perbelanjaan untuk tujuan lain sebaik sahaja berumahtangga ini,” kata Muhamad Fashli lagi.
Sementara peserta adik- beradik, iaitu Ruzliana Izwani Razali, 25, dan abangnya, Rafizie Izwan Razali, 26, dengan pasangan masing-masing, Nasrul Elmimi Mohamadan, 22 serta Suzziela Syyuffiera Mat sarif, 25, juga berbesar hati dan menghargai keprihatinan kerajaan kerana memilih mereka untuk diraikan dalam majlis penuh meriah itu.
“Alhamdulillah, tak sangka pula, kami dua beradik terpilih. Keluarga terdekat terutama ibu dan ayah pastinya orang yang sangat gembira kerana urusan yang baik sebegini berjalan lancar, selain tidak perlu berbelanja besar dan menggunakan kerahan tenaga yang ramai untuk mengadakan majlis di rumah pula,”katanya.
Mereka ditemui di Majlis Resepsi Keluarga Generasi TTB Perkahwinan Perdana 2016, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.
Daripada jumlah itu, 33 pasangan dari Kuala Terengganu, Kuala Nerus (37), Kemaman (27), Dungun (25), Marang (29), Hulu Terengganu (21), Setiu (22) dan Besut (23).
Turut hadir, Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Mohd Zubir Embong dan Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK), Mohd Shafaruddin Omar.
Kerajaan negeri membelanjakan RM800,000 bagi keseluruhan program itu termasuk pakaian, jamuan akad nikah dan resepsi pengantin TTB.
Selain itu, setiap pasangan pengantin turut mendapat Sijil Simpanan Premium (SSP) sebanyak RM1,000, kemudahan pinjaman modal berniaga dan keutamaan mendapat rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun perkahwinan.
Teganukita/MediaJerteh
No comments:
Post a Comment