Páginas

Wednesday, 8 June 2016

Sasar 100 Ribu Peserta Sertai e-Usahawan, e-Rezeki Tahun Ini

By Mastura Jamaldin -  29 Mei 2016


Kementerian Komunikasi dan Multimedia mensasarkan 100 ribu peserta seluruh negara menyertai program e-Usahawan dan e-Rezeki yang membantu  meningkatkan taraf ekonomi rakyat dan negara melalui kempen #YOUCANDUIT, menjelang akhir  tahun  ini.


Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Jailani Johari berkata, kempen yang diperkenalkan oleh Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDEC) itu merupakan satu agenda nasional yang bertujuan menggalakkan rakyat menjana wang tambahan menggunakan aplikasi digital dalam talian.

“Dengan kaedah ini, mereka boleh menerima sekitar RM300 hingga RM400 wang tambahan setiap bulan. Ini adalah sebahagian usaha kerajaan dalam membantu rakyat terutama kumpulan 40 peratus terendah (B40) untuk menambah pendapatan.

“Sejak dilancarkan pada Mac 2016 di Kuching Sarawak, sehingga kini kita mempunyai 3,000 peserta e-Usahawan berdaftar bagi perniagaan dalam talian. Kita juga mensasarkan penglibatan 45 ribu orang e-Usahawan mengikuti kursus ini dengan sasaran hasil jualan terkumpul sebanyak RM21 juta sehingga akhir tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan perasmian program Karnival #YOUCANDUIT Peringkat Negeri Terengganu, di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan,Komunikasi dan Multimedia Negeri A. Latiff Awang, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Rozi Mamat dan Naib Presiden komunikasi Korporat & Pemasaran MDEC, Mohd Razaleigh Zainal.

Jailani berkata, program  e-Rezeki  pula  menyasarkan golongan  B40  atau  isi rumah  yang berpendapatan  rendah  dengan  membuka peluang  kepada  mereka  untuk  menjana pendapatan  tambahan  melalui  kerja sambilan yang ditawarkan dalam talian bagi mewujudkan  lebih  ramai ‘warga  kerja  digital’  yang  dapat  meraih pendapatan  sampingan  melalui  kaedah digital.

Katanya, sejak  diperkenalkan  pada  2015 sehingga Disember  2015, program e-Rezeki menghasilkan pendapatan tambahan terkumpul berjumlah lebih RM11.2 juta  kepada  lebih  16  ribu  peserta.

Tambahnya, program e-Rezeki ini di jangka dapat menyumbangkan hasil  sehingga  RM15  juta pada tahun ini.

Program e-Usahawan ini dijalankan dengan kerjasama institusi Technical and Vocational Education and Training (TVET) di seluruh Malaysia.

Ia merupakan satu inisiatif MDEC untuk menjadikan program ini sebagai latihan mikro ekonomi bagi membolehkan para belia untuk menceburi bidang perniagaan dengan lebih teratur dan dibimbing dengan baik.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment