Páginas

Tuesday 28 June 2016

UTC Terengganu Tempatkan 30 Agensi

By Noraini Jusoh -  28 Jun 2016


Pusat Transformasi Bandar (UTC) Terengganu yang ditempatkan di dua buah komponen Perbadanan Memajukan Ik­tisad Negeri Terengganu (P­MINT) iaitu Paya Bunga Square (PB Square) dan Paya Bunga Plaza (PB Plaza) memulakan operasi semalam.


UTC adalah salah satu inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang menempatkan pelbagai agensi samada kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri di bawah satu bumbung dimana agensi terlibat dapat meluaskan liputan untuk berkhidmat kepada rakyat seterusnya menjamin kesejahteraan rakyat.

Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, inisiatif untuk membuka UTC Terengganu adalah demi kemudahan rakyat bagi membolehkan mereka berurusan dengan keadaan selesa serta mesra pengguna.

Katanya, UTC Terengganu yang menempatkan 30 agensi dengan kemudahan parkir sebanyak 1,500 lot dalam satu masa beroperasi setiap hari bermula jam 8.30 pagi sehingga 10 malam.

“Antaranya tujuh buah agensi persekutuan seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia, Klinik 1Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia.


“Untuk badan berkanun persekutuan dan negeri ada 20 agensi antaranya Perbadanan Tabung Pinjalam Tinggi Negara (PTPTN), Majlis Amanah Rakyat (MARA), TEKUN Nasional, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Syarikat Air Terengganu (SATU), Pejabat Tanah dan Galian, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dan lain-lain agensi kerajaan negeri.

“Disamping tiga syarikat swasta iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB), Indah Water Konsortium (IWK) dan Hijrah Risk Consultant,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Soft Launching UTC Terengganu di Tingkat Bawah, Podium Perniagaan PB Square, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda.

Ahmad Razif berkata, penubuhan UTC Terengganu yang merupakan antara terbaik di Malaysia adalah satu langkah bijak daripada kerajaan bagi memberi kemudahan terutama kepada masyarakat yang berada di bandar ini.

“Disini juga ditawarkan kemudahan taska yang dikelola Yayasan Pembangunan Keluarga, kioks-kioks yang disediakan untuk usahawan berniaga serta turut disediakan dewan yang boleh digunakan oleh semua pihak,” ujarnya.

Katanya, dengan adanya UTC Terengganu diharap dapat memberi kemudahan kepada rakyat dan secara tidak langsung, hasrat YAB Perdana Menteri Malaysia untuk mewujudkan one stop centre di negeri ini tercapai.

Menurut Ahmad Razif, Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) memperuntukkan sejumlah RM38 juta bagi kos pengubahsuaian PB Square dan PB Plaza.

“Ianya melibatkan kerja-kerja merekabentuk, membina dan menyelenggara bangunan sedia ada di PB Square dan PB Plaza merangkumi pengubahsuaian serta pembinaan infrastruktur termasuk link bridge bagi menempatkan Youth Centre yang merangkumi gelanggang futsal, gymnasium, pusat latihan memanah, snuker dan pusat kegiatan belia bagi Kementerian Belia dan Sukan.

“Proses pengubahsuaian mengambil masa selama 12 minggu bermula 22 Mac 2016 dan telah mula beroperasi semalam.

“Kontraktor yang bertanggungjawab untuk melaksanakan pengubahsuaian ini adalah Maysign Network Sdn Bhd yang berpengalaman dalam melaksanakan pengubahsuaian beberapa UTC,” ujarnya.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment