Páginas

Thursday, 2 June 2016

Pendapatan Bahagian Penjagaan Kesihatan TDM Meningkat 27 Peratus Tahun Lalu

By Aida Abd Rahman -  31 Mei 2016


Bahagian Penjagaan Kesihatan Terengganu Development Management (TDM) Berhad merekodkan peningkatan pendapatan sebanyak 27 peratus kepada RM165.2 juta pada tahun lalu, berbanding RM130.3 juta pada tahun sebelumnya.



Pengerusi TDM Berhad, Leftenan Jeneral (B) Tan Sri Dato’ Wan Abu Bakar Wan Omar, berkata dalam tempoh itu, bilangan pesakit mencatatkan peningkatan memberangsangkan, iaitu 22.7 peratus, sementara pesakit luar bertambah 23.9 peratus.

“Pendapatan meningkat disebabkan kemudahan disediakan oleh hospital yang baru dibina di Pusat Perubatan Kuantan (KMC).

“Sejak hospital itu memulakan operasi pada November 2014, bilangan pesakit dalam dan luar masing-masing meningkat 54 peratus dan 52.1 peratus. Hospital ini telah beroperasi sepenuhnya mengikut kadar yang ditetapkan,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-51, di Permai Hotel, Kuala Terengganu, hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, Wan Abu Bakar berkata, bangunan baru lapan tingkat Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) di Batu Burok, dijangka bakal memulakan operasi sepenuhnya pada Januari 2017.

Katanya, TDM berharap bangunan yang dilengkapi 130 katil serta peralatan moden mampu menyediakan kemudahan serta perkhidmatan yang baik dan selesa kepada masyarakat.

“Kami berharap kemudahan kesihatan ini dapat beroperasi dengan lancar dan mendapat kelulusan sepenuhnya daripada Kementerian Kesihatan bagi menyediakan perkhidmatan yang terbaik dan berpatutan kepada mereka yang memerlukan,”katanya.

Sebelum itu, menurut beliau, syarikat pegangan pelaburan milik kerajaan negeri yang turut terlibat secara aktif dalam industri perladangan itu mencatatkan hasil pendapatan sebanyak RM380.8 juta,  bagi tahun kewangan berakhir  31 Disember 2015, satu peratus lebih rendah berbanding jumlah tahun sebelumnya sebanyak 386.1 juta.

Katanya, hasil yang lebih tinggi telah membawa Kumpulan untuk meningkatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) kepada RM69.4 juta untuk tahun kewangan berakhir 2015, lima peratus lebih tinggi daripada RM65.9 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun 2014.

Tambah beliau, Bahagian Perladangan Kumpulan TDM menurun sedikit kepada RM215.6 juta daripada tahun sebelumnya, atau RM255.8 juta yang dicapai pada 2014.

Katanya, walaupun pendapatan lebih rendah, Bahagian Perladangan mencatatkan PBT lebih tinggi sebanyak tujuh peratus berbanding tahun sebelumnya, yang terhasil terutamanya daripada keuntungan tidak direalisasikan yang lebih tinggo ke atas pelaburan tukaran asing dalam pendapatan tetap (RM14.2 juta) dan penurunan kadar operasi Indonesia (RM13.6 juta).

Selain itu, menurutnya lagi, seiring dengan prestasi kewangan bagi tahun kewangan berakhir 2015, Kumpulan juga akan membayar dividen akhir sebanyak 1.2 sen sesaham kepada pemegang saham dengan pembayaran dividen yang dicadangkan berjumlah RM17.8 juta iaitu 46 peratus.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment