MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB | 22 Jun 2016 12:37 AM
MOHD. AMAR NIK ABDULLAH
****
KOTA BHARU 21 Jun - Pakatan pembangkang khususnya DAP dan PKR disaran menerima kekalahan kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar dengan hati terbuka.Pada masa sama, parti itu juga menggesa para pemimpin pakatan pembangkang berhenti mempersoalkan keputusan pengundi memberi sokongan kepada BN, sebaliknya perlu mengambil iktibar ekoran kekalahan besar tersebut.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, parti-parti pembangkang khususnya DAP dan PKR sepatutnya mencontohi Pas yang menerima kekalahan dalam dua PRK itu dengan hati terbuka.
“Keputusan PRK yang menyaksikan BN menang dengan majoriti besar perlu dijadikan pengajaran atau iktibar oleh semua parti pembangkang, bukannya menyalahkan pihak-pihak lain termasuk pengundi.
“Saya rasa semua pihak yang kalah ini perlu bersikap realistik menerima kekalahan, seperti mana Pas terima kekalahan secara terbuka dan menganggap itu cabaran kepada kita untuk memperkuatkan parti,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri, di sini hari ini.
Kemenangan cemerlang BN dalam PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar, Sabtu lalu menyebabkan para pemimpin pakatan pembangkang terutama daripada DAP dan PKR dilihat seperti cacing kepanasan.
Pemimpin pembangkang seperti Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli turut mempersoalkan keputusan pengundi memberi sokongan kepada BN.
Rafizi khususnya secara terbuka telah memperkecilkan kebijaksanaan pengundi membuat keputusan apabila menganggap mereka masih ‘dijangkiti dua penyakit’ iaitu sentimen perkauman atau keagamaan dan kebendaan.
Sementara itu, Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, pihaknya mendapati sokongan pengundi terhadap Pas masih kuat meskipun mereka terpaksa berhadapan dengan masalah dalaman dan serangan daripada pelbagai pihak sebelum ini.
Katanya, Pas tidak terjejas dengan pergolakan dalaman parti itu termasuk kewujudan PAN apabila masih memperoleh undi yang besar dalam dua PRK tersebut.
“Kita berjaya mengekalkan sokongan, perbezaan undi dalam pilihan raya umum lalu dan PRK kali ini dilihat cukup kecil. Daripada pencapaian ini, kita berpuas hati,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/terima-secara-terbuka-1.345684#sthash.HbLo4Ae6.dpuf
No comments:
Post a Comment