Páginas

Sunday 8 May 2016

MB Rakam Ucapan Takziah Kepada Keluarga Mangsa

By Suriati Ali -  8 Mei 2016


1Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa nahas helikopter di Sungai Batang Lupar, Kuching, isnin lalu, Lans Koperal Mohd  Sobri Harun, 26.


Allahyarham anak keempat daripada enam beradik berasal dari Kampung Chempaka, Batu Rakit merupakan pengawal peribadi kepada Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Dato’ Noriah Kasnon11

Beliau berterima kasih kepada anggota pasukan penyelamat, termasuk Bomba, kakitangan hospital yang bertungkus lumus membawa keluar mangsa sehingga selesai dikebumikan pagi ini.

“Bantuan lain, kita akan berbincang dengan Ketua Polis Terengganu  untuk melihat apa yang boleh dibantu, cuma apa yang difahamkan keluarga mangsa mahu mempermudahkan urusan pertukaran  kakak mangsa yang bertugas sebagai guru di Pulau Pinang ke Terengganu.

“Difahamkan, urusan  itu penting kerana ibu bapa mangsa kurang sihat dan mahu penjagaan rapi,”katanya.


Beliau berkata demikian selepas menyambut ketibaan jenazah di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu kira-kira 6.20 pagi tadi.

Selepas itu, Ahmad Razif bersama-sama Ketua Polis Terengganu Dato’  Rosli Abd Rahman, ADUN Batu Rakit Bazlan Abd Rahman dan ADUN Tepoh, Hishamuddin Abd Karim bergegas ke rumah Allahyarham untuk bersama-sama penduduk menunaikan solat jenazah.

Arwah  selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Mek Ngah,  jam 8.20 pagi.

Lebih 300 penduduk, termasuk pengawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu hadir memberi penghormatan terakhirkepada jenazah.

Sebelum ini, mayat ketiga nahas helikopter itu ditemui jam 1.03 tengah hari semalam di Sungai Batang Lupar.

Mayat ketiga itu ditemui kira-kira satu kilometer dari kawasan mayat pertama Dato’ Noriah ditemui, kelmarin.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment