Calon BN Sg Besar Budiman Zohdi
*****
SUNGAI BESAR, 31 Mei – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi menyambut baik dan mengalu-alukan kehadiran ADUN Meru, Dr. Abdul Rani Osman sebagai calon Pas dalam pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar, 18 Jun ini.Walaupun ramai yang mula mempertikaikan tindakan Pas meletakkan calon ‘import’ tetapi bagi beliau siapa pun calon lawan, BN sentiasa bersedia bertarung dalam gelanggang.
“Kita akan lawan. Tidak kira siapa calon lawan… berapa calon lawan.. yang penting kita mahu pastikan pengundi yakin dengan kita, kemampuan parti kita. Bagi kita, kita yakin penduduk terutama pengundi di kawasan ini tahu siapa dan parti mana yang mampu membela dan memperjuangkan nasib mereka pada masa hadapan”, ujarnya yang juga ADUN Kawasan Sungai Panjang.
Dalam masa yang sama, beliau turut melihat pencalonannya sebagai Calon BN pada PRK ini sebagai satu amanah dan tanggungjawab dari Pengerusi parti serta seluruh kepimpinan dan jentera BN di peringkat Bahagian dan Parlimen ini, untuk diterjemahkan dengan kemenangan BN pada PRK tersebut.
“Saya lebih suka mengambil pendekatakan sebagai calon underdog, kita sedar dan terima hakikat bahawa kemenangan pada PRU yang lepas, kita hanya menang majoriti 399 undi. Saya percaya dengan penyatuan jentera, bantuan sahabat-sahabat yang lain serta bantuan sahabat-sahabat parti komponan, gerak kerja Pemuda, Wanita, Puteri dan cawangan-cawangan dalam Parlimen Sungai Besar ini, insya-Allah kita akan mengekalkan parlimen Sungai Besar ini.
“Saya akan meneruskan membawa isu-isu rakyat ke Parlimen jika diberikan peluang mewakili parlimen Sungai Besar ini, sebagaimana peranan saya di DUN, banyak isu-isu rakyat d bawa Dewan Undangan Negeri. Saya akan meneruskan isu pesawah, petani, nelayan, peniaga dan juga penanam sawit di kawasan ini, isu mereka ialah kesempitan dari segi kehidupan, serta dalam usaha mereka untuk menambah pendapatan, akan saya bawa dan terjemahkan ke Parlimen pula selepas ini,” ujarnya mengulas harapan jika diberikan peluang untuk mewakili parlimen Sungai Besar.
Tambahnya, beliau akan konsisten dengan tugasan yang telah dibuatnya di DUN Sungai Panjang sebelum ini, dan isu-isu kesejahteraan hidup ini di DUN Sekinchan pula, bukan sahaja perjuangan kesejahteraan hidup ini untuk orang Melayu, begitu juga akan diperjuangkan untuk orang Cina dan orang India di kawasan ini.
“Kita berkempen di bulan Ramadhan ini, kita perlu hormati bulan ini maka lebih baik kita terjemahkan kekuatan kita (BN) berbanding melayan soal fitnah, atau kempen-kempen jahat yang dibuat oleh mana-mana pihak dalam PRK ini.
“Kita konsisten untuk menang pilihan raya, tidak kira berapa penjuru sekalipun, saya kira BN ada kekuatannya di sini,” ujarnya lagi.
PRK Parlimen Sungai Besar diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK bagi Parlimen Sungai Besar diadakan pada 18 Jun ini manakala proses penamaan calon ditetapkan pada 5 Jun ini.
-MediaUMNO
No comments:
Post a Comment