Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Jailani Johari berkata, kempen yang diperkenalkan oleh Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDEC) itu merupakan satu agenda nasional yang bertujuan menggalakkan rakyat menjana wang tambahan menggunakan aplikasi digital dalam talian.
“Dengan kaedah ini, mereka boleh menerima sekitar RM300 hingga RM400 wang tambahan setiap bulan. Ini adalah sebahagian usaha kerajaan dalam membantu rakyat terutama kumpulan 40 peratus terendah (B40) untuk menambah pendapatan.
“Sejak dilancarkan pada Mac 2016 di Kuching Sarawak, sehingga kini kita mempunyai 3,000 peserta e-Usahawan berdaftar bagi perniagaan dalam talian. Kita juga mensasarkan penglibatan 45 ribu orang e-Usahawan mengikuti kursus ini dengan sasaran hasil jualan terkumpul sebanyak RM21 juta sehingga akhir tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan perasmian program Karnival #YOUCANDUIT Peringkat Negeri Terengganu, di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan,Komunikasi dan Multimedia Negeri A. Latiff Awang, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Rozi Mamat dan Naib Presiden komunikasi Korporat & Pemasaran MDEC, Mohd Razaleigh Zainal.
Jailani berkata, program e-Rezeki pula menyasarkan golongan B40 atau isi rumah yang berpendapatan rendah dengan membuka peluang kepada mereka untuk menjana pendapatan tambahan melalui kerja sambilan yang ditawarkan dalam talian bagi mewujudkan lebih ramai ‘warga kerja digital’ yang dapat meraih pendapatan sampingan melalui kaedah digital.
Katanya, sejak diperkenalkan pada 2015 sehingga Disember 2015, program e-Rezeki menghasilkan pendapatan tambahan terkumpul berjumlah lebih RM11.2 juta kepada lebih 16 ribu peserta.
Tambahnya, program e-Rezeki ini di jangka dapat menyumbangkan hasil sehingga RM15 juta pada tahun ini.
Program e-Usahawan ini dijalankan dengan kerjasama institusi Technical and Vocational Education and Training (TVET) di seluruh Malaysia.
Ia merupakan satu inisiatif MDEC untuk menjadikan program ini sebagai latihan mikro ekonomi bagi membolehkan para belia untuk menceburi bidang perniagaan dengan lebih teratur dan dibimbing dengan baik.
Teganukita/MediaJerteh
No comments:
Post a Comment