Ahmad Razif bersama rombongannya ketika melawat Pulau Lang Tengah dan Perhentian kelmarin. |
PULAU PERHENTIAN - Kerajaan Terengganu setuju membiayai sebahagian besar kos mendapatkan lesen bot yang sah untuk pengusaha dan pemandu bot pelancong di Pulau Perhentian.
Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kerajaan negeri akan membiayai kos sebanyak RM800 seorang untuk mereka menyertai kursus bagi mendapatkan lesen tersebut yang akan dikendalikan oleh Jabatan Laut Malaysia.
Menurutnya, mereka hanya perlu membayar RM50 sahaja dan bakinya diberi subsidi oleh kerajaan bagi mengurangkan beban sekali gus menggalakkan mereka mempunyai lesen sah.
“Saya sarankan mereka yang terbabit mengambil peluang kerana ia diberi sekali sahaja sehingga hujung bulan ini dan terhad kepada pengusaha sedia ada yang memberi perkhidmatan di Pulau Perhentian,” katanya pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan bersama pengusaha chalet di Pulau Perhentian kelmarin.
Ahmad Razif berkata, usaha ini diambil mengatasi masalah pemandu bot tidak berlesen seterusnya untuk memastikan mereka diberi maklumat yang sewajarnya dan mengikut peraturan ditetapkan sebelum beroperasi khususnya membawa pelancong.
Menurutnya, terdapat aduan tentang segelintir pengusaha tidak berlesen mengabaikan keselamatan penumpang seperti hanya menggunakan lampu suluh sahaja pada waktu malam ketika membawa pelancong.
“Pada bulan sahaja ada satu kes kemalangan membabitkan bot pada waktu malam sehingga menyebabkan salah seorang pemandu bot meninggal dunia di pulau ini dan salah satu faktor adalah kerana kecuaian dan saya diberitahu terdapat kira-kira 400 pemandu dan pengusaha bot di pulau ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Razif berkata, masalah ketiadaan bekalan elektrik 24 jam di chalet dan resort di Pulau Perhentian bakal selesai tidak lama lagi apabila bekalan kuasa elektrik melibatkan kabe dasar laut antara Pulau Perhentian Kecil ke Perhentian Besar dijangka dilaksanakan pada tahun ini.
Menurutnya, projek bekalan elektrik itu melibatkan kos lebih RM46 juta yang dibiayai sebahagian oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan sebahagian lagi oleh kerajaan negeri.
Sementara itu hasil lawatan kerja beliau ke Pulau Lang Tengah dan Pulau Perhentian kelmarin, beliau mengesan terdapat beberapa permasalahan yang ditimbulkan oleh pengusaha chalet dan resort.
“Isu kebersihan seperti pembuangan air kumbahan ke laut, sampah dan penempatan bot yang merbahaya kepada pelancong antara topik utama. Sehubungan itu jabatan berkaitan seperti Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Taman Laut, Alam Sekitar dan pihak berkuasa tempatan diminta memperincikan masalah tersebut dan mengambil langkah penyelesaian segera.
“Lepas ini saya akan ke Pulau Kapas kerana kita nak jadikan pulau ini sebagai pemangkin menarik minat pelancong terutama dari luar negara.
“Jadi kita perlu memikirkan alternatif lain yang boleh menambahkan pendapatan terutama kepada pendapatan rakyat dan pendapatan negeri dan memastikan kita tidak bergantung 100 peratus kepada hasil petroleum,” katanya.
No comments:
Post a Comment