Páginas

Tuesday 31 May 2016

Terengganu Cadang Hantar Pengurus Kediaman Profesional Ke Lembah Kelang

By Aida Abd Rahman -  24 Mei 2016


Kerajaan negeri bercadang meluaskan perkhidmatan Pengurus Kediaman  (Home Manager) yang bertauliah ke Lembah Kelang bagi memenuhi permintaan yang tinggi di kawasan itu.


Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pihaknya mendapati pasaran terhadap pembantu rumah di bandar yang pesat membangun sangat mendesak dan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) diminta menawarkan latihan kepada mereka yang berminat termasuk di kalangan graduan universiti.

“Kita mahu menyediakan Home Manager yang profesional, bukan sahaja menguruskan kediaman, malah mempunyai kemahiran tertentu termasuk mengajar tuisyen dan mengajar al-Quran berdasarkan keperluan majikan.

“Konsep yang sama (seperti sebelum ini), iaitu mengikut waktu pejabat dan YPKT akan menyediakan hostel dan pengangkutan. Pada hari minggu mereka boleh bercuti, bagaimanapun jika mahu mereka bekerja majikan perlu membayar gaji lebih masa,” katanya.

Ahmad Razif berkata demikian kepada media di Majlis Resepsi Keluarga Generasi TTB Perkahwinan Perdana 2016, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, kelmarin.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato Mohd Zubir Embong dan Pengarah YPKT, Mohd Shafaruddin Omar.

Ahmad Razif berkata, YPKT akan mengkaji secara terperinci bagi melaksanakan program itu dengan menekankan pelbagai aspek khususnya keselamatan, pengangkutan, insurans, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan keperluan-keperluan lain bagi menjaga kebajikan setiap peserta program itu.

Katanya, setiap peserta mungkin dibayar lebih daripada RM1,500 seorang dan mampu memperolehi pendapatan lebih daripada itu jika mampu menjalankan kerja sampingan pada pada hari minggu.

Sehingga kini, YPKT sudah melahirkan 89 peserta  Pengurus Kediaman termasuk dua daripada mereka graduan, yang kini sedang berkhidmat dengan majikan masing-masing di seluruh Terengganu.

Kerajaan negeri  menyediakan kira-kira RM1 juta kepada anak syarikat YPKT iaitu Permodalan YPK Sdn Bhd, untuk menjayakan kursus kemahiran itu secara teori dan praktikal, selain keperluan kepada peserta termasuk gaji permulaan RM900 sebulan.

Daripada jumlah itu, kerajaan negeri menawarkan subsidi RM200 sebulan kepada majikan dan majikan hanya perlu membayar RM700 sebulan kepada setiap pengurus kediaman terbabit.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment