Páginas

Tuesday, 10 May 2016

Pesta Candat Sotong Kembali Meriah

By Aida Abd Rahman -  10 Mei 2016


Kemeriahan aktiviti candat sotong di perairan Terengganu membuka tirainya dengan pelancaran Bulan Festival Candat Sotong Antarabangsa Terengganu 2016 di Taman Tamadun Islam (TTI), Khamis ini.


Pelancaran akan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee.

Pengurus Promosi Pelancongan Terengganu, Ahmad Fathil Abd Ghani, berkata majlis itu sebagai platform mempromosikan kempen Tahun Melawat Terengganu 2017, bakal memberi makluman kepada orang ramai bermulanya musim mencandat sotong dari April hingga Jun setiap tahun.

“Program ini juga impak atau kesinambungan daripada promosi yang dibuat pada tahun-tahun sebelum ini bagi menarik lebih ramai pengunjung ke Terengganu supaya merasai sendiri keseronokan aktiviti itu di samping berpeluang melawat destinasi lain.

“Aktiviti riadah yang bersesuaian dengan semua peringkat usia serta memartabatkan aktiviti warisan berzaman masyarakat nelayan yang sinonim dengan kegiatan di pesisir pantai, selain memperkenalkan destinasi pesisir air di Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Ahmad Fathil berkata, pelancaran itu juga antara lain untuk memperkenalkan satu lagi tarikan pelancongan yang unik dan menarik melibatkan kluster pulau dan pantai yang kaya dengan keindahan pantai, air yang bersih dan jernih serta kepelbagaian hidupan marin dan terumbu karang.

Tambah beliau, ia juga sebagai memartabatkan aktiviti berkenaan sebagai satu ikon pelancongan negeri serta simbolik pemberitahuan bermulanya bulan mencandat sotong selepas redanya musim tengkujuh di Terengganu.

Katanya, program itu mewujudkan kerjasama yang jitu kerajaan negeri menerusi secretariat Pesona dengan Persatuan pengusaha Agensi kembara dan Agensi Pelancongan Malaysia (MATTA), Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan Persatuan Hotel Bajet Malaysia dalam memperkenalkan aktiviti mencandat sotong menerusi pakej mencandat yang inovatif, kreatif dan menjana pulangan.

Menurut Ahmad Fathil, pesta candat sotong mula diperkenalkan oleh kerajaan negeri sejak 1991 sehingga 1999 bermula Mei hingga Julai di kawasan perairan Pulau kapas serta Pulau Gemia, Marang.

“Pada 2004 hingga 2012, pesta itu diteruskan semula bagi mempromosikan acara candat sotong secara sistematik dan besar-besaran secara komersial di lokasi-lokasi kepulauan serta persisiran pantai sekitar Terengganu.

“Kemeriahan acara di sepanjang lautan Laut China Selatan akan kelihatan lampu-lampu bot candat berkelipan seolah-olah satu pesta sedang berlangsung apabila musim mencandat bermula,” katanya.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment