Páginas

Sunday 8 May 2016

72 Cukup Bermakna Buat Adenan


KUCHING, 7 Mei – Rakyat Sarawak memberikan hadiah istimewa kepada Tan Sri Adenan Satem dengan mandat besar untuk menerajui kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) buat penggal ke-11.


Kemenangan 72 kerusi untuk pemimpin berusia 72 tahun itu pada pilihan raya negeri ke-11 menunjukkan rakyat Bumi Kenyalang memberi kepercayaan kepada Adenan untuk kekal sebagai Ketua Menteri Sarawak ke-11.

Pencapaian itu merupakan detik bersejarah bagi Adenan, selaku presiden PBB, selama 40 tahun berkecimpung dalam politik.

Kemenangan itu lebih manis apabila BN merampas tujuh kerusi majoriti Cina termasuk kerusi paling panas iaitu Batu Kawah yang dimenangi Presiden SUPP, Datuk Dr Sim Kui Hian.

Mengetuai BN buat pertama kali pada pilihan raya negeri, Adenan meminta pengundi memberi peluang lima tahun lagi sebelum beliau bersara dalam politik bagi merealisasikan visinya membangunkan negeri ini bersama kaum Cina dalam kabinet negeri itu.

Seruan pemimpin popular itu dibalas oleh kaum Cina dengan mengembalikan semula kerusi Batu Kawah, Piasau, Dudong, Bawang Assan, Repok, Meradong serta kerusi baharu Batu Kitang.

Sebaik sahaja keputusan akhir diumumkan, Adenan sekali lagi mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di hadapan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Taib Mahmud.

Majlis di Astana, kediaman rasmi Taib, itu turut disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Kejayaan cemerlang itu adalah hasil di sebalik parti tonggak BN, PBB serta PRS masing-masing menyapu bersih 40 dan 11 kerusi serta sumbangan tujuh kerusi oleh SUPP, tiga oleh SPDP dan 11 calon langsung, sekali gus melepasi ramalan 70 kerusi.

Gabungan itu membuka langkah kanan dengan menang dua kerusi tanpa bertanding iaitu Bukit Sari dan Bukit Kota, pada hari penamaan calon, 25 April lepas.

Rakyat Sarawak memberi tamparan hebat kepada Pakatan Harapan apabila DAP hanya mampu mengekalkan tujuh kerusi dan hilang lima berbanding rekod 12 kerusi yang dimenangi pada 2011.

Parti pembangkang itu mengekalkan Kota Sentosa, Padungan, Pending, Pelawan, Bukit Assek, Tanjung Batu dan Pujut.

PKR, yang tidak sehaluan dengan DAP pada pilihan raya negeri ini, bertanding di 40 kawasan dan hanya mengekalkan rekod 2011 iaitu Ba’Kelalan, Krian dan Batu Lintang.

Adenan mempertahankan kerusi Tanjung Datu dengan majoriti 5,892 undi selepas mengalahkan pencabar tunggal Jazolkipli Numan yang hanya mampu mendapat 468 undi.

Calon PKR itu hilang deposit.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment