Páginas

Wednesday 11 May 2016

Penuntut IPG Johan Pidato

By Suriati Ali -  11 Mei 2016

Mohd Iskandar (dua kiri) bersama peserta Pertandingan Pidato 1Malaysia 2016. foto oleh Jabatan Penerangan (JaPen) Terengganu.
*****
Penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Dato’ Razali Ismail,  Anis Hazirah Zakaria, 20, merangkul  johan  Pertandingan Pidato 1Malaysia 2016 Peringkat Terengganu yang diadakan di Dewan Serbaguna Daerah Setiu, Sungai Tarom, Setiu, semalam


Penuntut semester dua Ijazah Pendidikan Guru Sejarah itu berjaya menewaskan tujuh peserta lain dengan tajuk ‘Malaysia Kemerdekaan Membina Ketamadunan Bangsa’  dan membawa pulang hadiah wang tunai RM1500 plak dan sijil.

Tempat kedua dimenangi oleh guru J-Qaf Sekolah Kebangsaan Gong Pasir, Dungun, Che Ku Mohd Suhaimi Che Ku Abdul Rahman, 37, menerima hadiah wang tunai RM1000

Manakala penuntut Tahun Satu Ijazah Sarjana Muda Kaunseling Universiti Kolej Bestari, Setiu, Mohd Faizon Elias  memenangi tempat ketiga, membawa pulang wang tunai RM500

Juara pertandingan akan mewakili Terengganu ke peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Kedah pada 31 Julai depan.

Pertandingan tahunan yang bermula tahun 2011 dianjurkan Jabatan Penerangan (JaPen) Terengganu disertai lapan peserta,  mewakili setiap daerah.

Lima peserta lain menerima hadiah saguhati wang tunai RM300 setiap seorang beserta sijil dan plak.

Pengarah JaPen, Nasrudin H.Mahmud, berkata  pertandingan yang bertemakan `Sehati Sejiwa’ bertujuan meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan kefahaman masyarakat.

Katanya, pada masa sama, menyedarkan golongan belia mengenai dasar kerajaan khususnya Gagasan 1Malaysia selain dapat memupuk, menyubur serta mengukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat negara ini.

“Penganjuran pertandingan ini diharap dapat memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan pelbagai kaum dalam kehidupan seharian selain meningkatkan rasa kecintaan serta kebanggaan masyarakat terhadap negara,”katanya

Hadiah disampaikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri Terengganu, Mohd Iskandar Jaafar.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment