Páginas

Wednesday 26 August 2015

Azmin Gagal Jawab Isu Pokok Berhubung DEIG – Budiman

Oleh Wan Hafiz Hamzah

SHAH ALAM, 25 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi berkata Menteri Besar Selangor, Azmin Ali gagal untuk menjawab persoalan rakyat berhubung kewajaran penubuhan Darul Ehsan Investment Groups (DEIG) yang diberi kuasa untuk menjalankan urus niaga bagi pihak Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) yang melibatkan aset yang berjumlah lebih RM 30 bilion.

Menurut beliau, jawapan yang diberikan oleh Azmin di dalam sebuah akhbar tidak langsung menjawab persoalan tersebut dan perkara ini ternyata telah menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat.

“Sehingga ke saat ini persoalan rakyat berhubung kewajaran penubuhan DEIG masih gagal dijawab oleh Menteri Besar. Malah, sebanyak lapan isu pokok yang dipersoalkan oleh rakyat juga gagal mendapat jawapan yang memuaskan daripada Azmin.

“Hakikatnya hari ini, rakyat di Selangor tidak dapat menerima apakah kewajarannya kewujudan sebuah syarikat yang berperanan sebagai ‘orang tengah’ untuk menguruskan pelaburan terhadap aset 12 anak syarikat di bawahnya.

“Sekiranya alasan kerajaan negeri mahu mengelak pertindihan, sepatutnya pertindihan itu boleh ditangani melalui penyusunan semula aktiviti 12 anak syarikat berkenaan bukannya mewujudkan DEIG yang berperanan sebagai perantara semata-mata,” tegasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Tambah beliau, sekiranya diteliti jawapan yang diberikan oleh Menteri Besar Selangor, jawapan beliau lebih cenderung kepada peranan kerajaan negeri dan tidak menjawab persoalan yang sebenar berhubung kewajaran dan keperluan penubuhan DEIG.

“Sekiranya kita lihat berdasarkan penyata jawatankuasa pilihan mengenai agensi, badan berkanun dan anak syarikat kerajaan Negeri (JP ABAS) bagi dewan negeri Selangor berhubung DEIG, mereka memandang serius perlantikan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Ketua Pegawai Operasi MBI/DEIG (COO) yang tidak dilakukan dengan proses lantikan terbuka.

“Kita juga tidak tahu apakah benar CEO dan COO yang latar belakangnya tidak ketahui ini mempunyai berpengalaman dalam menjalankan urusniga yang melibatkan aset yang begitu besar serta mempunyaitrack record terbaik seperti yang diwar-warkan oleh beliau?,”

Sementara itu, beliau turut mempersoalkan di mana pendirian Rafizi Ramli dan Tony Pua berhubung isu DEIG ini di mana sehingga ke saat ini, tiada sebarang kenyataan dari mereka berhubung perkara ini.

“Selama ini, kita lihat merekalah yang selalu mendabik dada melaungkan soal bercakap benar, soal integriti, soal ketelusan dan akauntabiliti. Jadi dalam isu DEIG ini, apabila rakyat mahukan ketelusan, mereka diam seribu bahasa. Ketelusan sebenar perlu melangkaui sempadan politik kepartian,” tegasnya.

-MediaUMNO

No comments:

Post a Comment