Páginas

Tuesday 25 August 2015

Bila Ahli Parlimen Pas Sendiri Berkata “Keluar Pas Bukan Bermakna Keluar Dari Islam”

Oleh : Zylan Mohamad


KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Perpecahan yang berlaku di dalam parti Pas dek tertubuhnya Gerakan Harapan Baru semakin hari semakin nampak keparahannya apabila beberapa pemimpin kawasan mula mengisytiharkan keluar daripada parti tersebut.


Ini dapat dilihat dengan tindakan yang dilakukan oleh Pas kawasan antaranya seperti Shah Alam, Klang, Kapar, Kota Raja, Kelana Jaya, Gelang Patah dan beberapa kawasan lagi yang turut akan mengisytiharkan keluar parti.

dr-siti-mariah-mahmud-ghb-kota-raja-selangor-keluar-pas-baiah-bukan-keluar-agama-islam

Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud yang telah mengumumkan peletakan jawatan secara rasmi dan menyertai Gerakan Harapan Baharu juga berkata tindakan meninggalkan Pas bukan bermakna terkeluar daripada agama Islam.

Sehubungan itu, menurut pandangan ahli Majlis Syura Pertubuhan Jalur Tiga (JATI), Kapten Dr. Shamsuddin Moner, kenyataan Ahli Parlimen Kota Raja itu sebenarnya menunjukkan selama ini perjuangan yang sering dibawa oleh parti Pas kononnya merekalah satu-satunya parti yang memperjuangkan Islam di negara ini adalah tidak benar belaka.

Inilah hakikat yang selama ini disembunyikan oleh mereka, Islam bukan hak milik parti Pas sahaja, tetapi hak milik semua orang Islam di negara ini. Jelas mereka mempolitikkan agama untuk kepentingan mereka sahaja, katanya kepada UMNO-Online.

“Jika dahulu mereka yang keluar Pas ini kononnya begitu mengagungkan perjuangan negara Islam dan mahu menjalankan hukum hudud, tetapi bukanlah sesuatu yang janggal seolah-olah ‘ada udang di sebalik batu’ apabila kini berjuang di landasan yang bersama-samanya golongan yang menentang dasar tersebut.

“Tidakkah ini menunjukkan mereka berjuang di dalam parti Pas selama ini hanya untuk dapatkan jawatan sahaja dan apabila kalah di dalam pemilihan jawatan, lantas menubuhkan gerakan yang baharu dengan harapan kembali mendapatkan pangkat dan kuasa.

“Tingkah laku mereka ini tidak ubah seperti ‘paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih’,” ujarnya lagi.

Justeru itu, beliau melihat tindakan mereka ini adalah jelas bahawa selama ini apa yang mereka perjuangkan kononnya atas nama Islam hanya kosmetik sahaja.

“Dan adakah juga secara tidak langsung mereka memandang rendah kepada keupayaan golongan ulamak mentadbir parti tersebut yang dilihat tidak lagi progresif?

“Adakah mereka ingin buktikan bahawa perjuangan Pas sudah lagi tidak relevan? Walhal parti itulah yang telah memberi mereka tempat dan jawatan sebelum ini,” tambah Pengerusi Yayasan Ummah Prihatin Pahang itu lagi.

Katanya lagi, apa yang dapat dilihat bahawa kemelut di dalam parti Pas memuncak sebaik sahaja golongan yang dlihat ‘mesra’ dengan Dap dan PKR, yang sanggup membelakangi dasar perjuangan parti kalah di dalam pemilihan jawatankuasa pusat parti tersebut.

Dan adakah juga perpecahan yang berlaku di dalam Pas itu kini dek kerana doa-doa mereka sebelum ini yang mendoakan kehancuran UMNO dan Barisan Nasional (BN) kini kembali kepada mereka? Wallahu’alam, katanya.

– Media UMNO.

No comments:

Post a Comment