Páginas

Tuesday, 25 August 2015

Gerai Berhampiran HSNZ Siap Tahun Depan

AUTHOR: SURIATI ALI 24 AUGUST 2015


Pembinaan 18 unit gerai berhampiran Hospital Nur Zahirah (HSNZ) kini sudah siap 20 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pertengahan tahun depan.


Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato’ Mohd Kamil Othman berkata, premis niaga itu akan disewakan kepada peniaga sedia ada pada kadar yang berpatutan.

Katanya, Apabila siap kelak, urus niaga di kawasan gerai itu pastinya memberi keselesaan kepada orang ramai, terutama mereka yang datang melawat sanak saudara dan sahabat handai di HSNZ.

“Kita harap, apabila gerai jualan kekal siap dibina, kawasan itu akan lebih terurus dan peniaga dapat jalankan perniagaan dengan lebih selesa,” katanya kepada pemberita.

Menurutnya, pembinaan gerai jualan di kawasan itu selaras dengan matlamat kerajaan negeri yang mahukan kebersihan menjadi aspek utama dalam setiap kawasan perniagaan di bandar raya ini.

Katanya, sebelum ini, orang ramai sering merungut kerana berdepan dengan bau busuk,sampah sarap dan keadaan berdebu di sekitar kawasan tersebut setiap kali mahu membeli makanan dan minuman.

Bagaimanapun, gerai jualan itu tetap menjadi tumpuan orang ramai dan kakitangan hospital untuk membeli makanan kerana lokasinya yang strategik kerana berhampiran dengan hospital.

Dalam lawatan Menteri Besar, Dato’, Seri Ahmad Razif Abdul Rahman akhir tahun lalu, beliau mahu Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) membina gerai kekal agar lebih bersih dan selesa.

Antara kawasan lain yang diberi tumpuan untuk transformasi kebersihan dan keceriaan bandar itu termasuk kawasan rekreasi Batu Buruk, Pasar Payang dan Dataran Shahbandar.

Sementara itu, seorang peniaga, Mohd Zamri Ali,43, yang telah lima tahun berniaga disitu berkata, dia amat berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberi kemudahan tapak perniagaan baharu kepada mereka.

“Alhamdulilah, kami telah lama tunggu tapak perniagaan ini dan alhamdulilah, ia makin menjadi nyata. Kami amat bersyukur kerana diberi peluang yang baik untuk berniaga disitu,”katanya.

Menurut Mohd Zamri, tapak niaga sedia ada sekarang adalah rizab longkang dan ia juga dilihat tidak begitu sesuai untuk menjalankan perniagaan. “ Jadi, dengan adanya kedai baru nanti, ia beri harapan baru buat peniaga seperti kami. Ia inisiatif yang amat baik dari kerajaan negeri,” katanya.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment