Pengerusinya, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata di saat begini penggerak media baru ini perlu aktif semula berikutan senario hari ini banyak fitnah-fitnah yang disampaikan melalui media sosial yang boleh mempengaruhi rakyat di negara kita.
“Jadi sepertimana apa yang disebut Perdana Menteri adalah betul dan saya menyokong penuh supaya dalam saat begini, kumpulan ini atau gerakan ini perlu diaktifkan secara yang lebih agresif,” katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Hari Raya Badan Perhubungan UMNO Terengganu, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha UMNO Terengganu, Dato’ Muhammad Pehimi Yusof.
Ahmad Razif berkata, di peringkat negeri, pihaknya sudah bersedia menangkis pelbagai persepsi negatif terhadap parti termasuk mengadakan bengkel kepada kumpulan Facebookers, media baru dan juga kakitangan kerajaan.
“Kita berikan mereka penerangan dan maklumat untuk disampaikan dan disebarkan kepada rakyat supaya dapat menstabilkan balik segala tohmahan dan dapat menjawab semula tentang fitnah yang cuba dibuat oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Dalam laporan semalam, Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak berkata UMNO perlu mewujudkan lebih ramai ‘keyboard warriors’ bagi menangkis persepsi negatif terhadap parti di media sosial.
Najib, yang juga Presiden UMNO, berkata perkara ini perlu memandangkan pembentukan minda masyarakat hari ini banyak bergantung kepada persepsi berbanding realiti.
Beliau menyifatkan penyebaran fitnah kini ‘di hujung jari’ disebabkan ruang siber menjadi medan perjuangan penting berbanding sebelum ini secara fizikal atau berhadapan.
Ahmad Razif ketika ditanya mengenai pendirian UMNO negeri berikutan krisis yang sedang melanda pucuk pimpinan parti, beliau menjelaskan UMNO negeri tidak melihatnya sebagai satu krisis, sebaliknya satu proses untuk memperkuat dan menstruktur semula parti.
“Kita kena menerima keputusan yang dibuat oleh YAB Perdana Menteri kerana beliau ada alasan dan juga sebab kenapa dia mengambil tindakan sebegitu.
“Ini memang kuasa YAB Perdana Menteri dalam soal perlantikan. Jadi soalnya hari ini tidak timbul isu berlaku perubahan dalam jawatan-jawatan UMNO atau Majlis Tertinggi. Ini soalnya rombakan kepada pentadbiran dan biasa berlaku,” katanya.
Teganukita/MediaJertih
No comments:
Post a Comment