Páginas

Wednesday 12 August 2015

Kerajaan Negeri Lulus RM5 Juta Bina Pasar Baru Jertih Souq

AUTHOR: MOHAMAD ISHAK 9 AUGUST 2015


Masalah tempat ruang niaga tidak selesa dan kurangnya sambutan orang ramai yang dihadapi peniaga di premis sementara Pasar Jertih Souq akan dapat diselesaikan apabila sebuah pasar baru akan dibina di kawasan yang lebih strategik dan mampu menarik ramai pengunjung.


Pembinaan pasar berharga RM5 juta itu diluluskan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, selepas mendengar sendiri rintihan peniaga serta permintaan pemimpin setempat yang mahu pembinaan Projek Jertih Souq diteruskan untuk faedah peniaga.

Ahmad Razif yang meninjau sendiri masalah peniaga di Jertih Souq berjanji akan meneruskan pembinaan pusat perniagaan Jertih Souq selepas ia terbengkalai hampir 15 tahun.

Projek asal yang diilhamkan bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Idris Jusoh, dirancang sebagai pusat perniagaan komersil serba lengkap termasuk kemudahan perhentian bas, kereta sewa, pusat perniagaan dan hotel.

“Saya akan mempastikan projek berkenaan dapat diteruskan selepas mendapat pandangan dan runggutan daripada penduduk setempat selain pemimpin kerajaan di daerah Besut,” katanya selepas melawat Jertih Souq hari ini.

Hadir sama Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Muhamad Pehimi Yusof, Ahli Exco Kerajaan Negeri, Nawi Muhamad yang juga Ketua Umno Bahagian Besut, ADUN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, ADUN Kota Putera, Mohd Mahdi Musa dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda.

Ketika ini ada 250 peniaga sebahagian besarnya Bumiputera menjalankan perniagaan di premis sementara Jertih Souq tetapi tetapi mereka menghadapi pelbagai masalah kerana ruang niaga yang kecil selain kedudukan tempat yang tersorok.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment