Páginas

Monday 3 August 2015

Idris Akan Pastikan Rakyat Mendapat Pendidikan Terbaik


BESUT, 1 Ogos (Bernama) -- Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata kementeriannya akan berusaha memastikan pendidikan terbaik diperoleh rakyat melalui kemudahan pembelajaran yang disediakan universiti tempatan dalam tempoh lima tahun ini.


Beliau berkata transformasi akan dilakukan sama ada membabitkan pengurusan, sistem pembelajaran mahupun tahap kemahiran dan ilmu para pensyarah agar ia mampu memberi kesan positif kepada universiti tempatan untuk menyaingi universiti ternama dunia.

"Kementerian Pendidikan Tinggi akan berusaha supaya universiti tempatan tergolong dalam kelompok 100 daripada 40,000 universiti di seluruh dunia melalui kerjasama erat daripada pihak universiti," katanya pada majlis kesyukuran atas pelantikan beliau sebagai Menteri Pendidikan Tinggi bagi menerajui kementerian baharu itu di sini malam tadi.

Turut hadir ketua-ketua jabatan dan lebih 500 jemputan tempatan termasuk Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar.

Idris yang juga Anggota Parlimen Besut berkata sebenarnya usaha bagi meningkatkan status universiti tempatan telah pun dimulakan semasa beliau ditugaskan dalam Kementerian Pendidikan sebelum ini.

Beliau berkata dengan usaha yang dlakukan, pihaknya kini berjaya meningkatkan status beberapa universiti awam khususnya Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hingga berjaya membaiki kedudukan masing-masing dalam kelompok 100 universiti terbaik dunia.

"Apa yang dibanggakan dalam bidang kejuruteraan, sains persekitaran dan pengajian pembangunan beberapa buah universiti tempatan kita tergolong dalam kelompok 100 terbaik dunia," katanya.

Menurutnya antara langkah yang akan dilakukan dalam usaha untuk meningkatkan tahap pengajian universiti tempatan termasuk menghantar para pensyarah tempatan menambah ilmu di universiti terkemuka dunia seperti Universiti Cambridge dan Universiti Oxford dalam membentuk mereka menjadi pensyarah yang berkualiti.

Katanya, usaha sedang dilakukan bagi memastikan 537 pensyarah di 20 universiti tempatan memperoleh ilmu terbaik daripada universiti ternama dunia secara berperingkat-peringkat.

Idris turut berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana masih memberi kepercayaan kepadanya bagi memimpin sebuah kementerian yang memainkan peranan penting dalam membentuk generasi akan datang melalui pendidikan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment