Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata pergerakan itu juga pada masa yang sama turut mengambil pendirian untuk memberikan masa bagi isu-isu besar yang dihadapi oleh kerajaan dan parti dapat diselesaikan menerusi proses-proses tertentu samada proses siasatan dan proses siasatan lain yang melibatkan agensi kerajaan.
“Kita juga semua setuju bahawa isu ini perlu diselesaikan dengan cepat dan perlu beri masa untuk diselesaikan sepenuhnya. Kita juga telah buat ketetapan dalam tempoh terdekat akan jumpa Presiden Parti, Datuk Seri Najib Razak dalam tempoh terdekat untuk sampaikan pandangan Pemuda terutama pandangan yang telah dibuat menerusi mesyuarat perwakilan Pemuda bahagian baru-baru ini.
“Dan pada masa yang sama kita juga mohon untuk mengadakan pertemuan bersama Timbalan Perdana Menteri yang baru, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya perkara yang sama dapat kita sampaikan. Perjumpaan kita bersama kedua-dua pimpinan terbabit berkenaan isu-isu dan pandangan daripada bawah supaya tindakan dapat diambil mengenai kerisauan dan keresahan pemuda di akar umbi,“ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda UMNO di sini, hari ini.
Beliau seterusnya menambah antara isu yang akan diutarakan adalah berkaitan isu derma politik, persepsi rakyat, siasatan berhubung dengan dana politik, 1MDB dan sebagainya lagi
“Isu-isu ini bukan hanya dibincangkan di peringkat Pemuda tetapi juga dibincangkan di kalangan rakyat terutama pengundi muda, anak muda di luar parti.
“Jadi kami sebagai pergerakan yang mewakili suara anak muda dalam UMNO dan menjadi jambatan pengundi muda, ini menjadi tugas tugas kita untuk sampaikan perspektif orang muda kepada pucuk pimpinan,“ ujarnya.
Dalam perkembangan lain Khairy turut memaklumkan 182 Pemuda bahagian telah selesai mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing dan bakinya sembilan lagi kawasan yang masih belum selesai.
“Hujung minggu ini akan selesai dan kita telah terima usul-usul daripada Pemuda bahagian-bahagian dan semua usul akan diteliti oleh pengurusan Pemuda supaya kita dapat memahami keadaan di akar umbi dengan lebih mendalam lagi,“ katanya.
-MediaUMNO
No comments:
Post a Comment