Páginas

Monday 17 August 2015

Terengganu Buka Pintu Pelaburan Lebih Besar Kepada China

AUTHOR: MOHD SYAZNI ZAINUDIN 16 AUGUST 2015


Terengganu membuka peluang kepada pelabur dari China untuk melabur di negeri itu bagi mengukuhkan lagi sektor ekonomi dan perdagangan dua hala bagi kedua-dua pihak.


Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, Terengganu menyediakan pelbagai sektor termasuk pelancongan, perkilangan, minyak dan gas bagi membolehkan pelabur membuat pelaburan dan membangunkan sektor-sektor tersebut.

“Kerajaan negeri kini sedang memfokuskan kepada empat sektor utama dalam pembangunan ekonomi negeri iaitu pelancongan, gabungan teknologi ICT, bio-teknologi serta minyak dan gas.

“Kita menerima dengan tangan yang terbuka bagi bagi pelabur-pelabur dari China membangunkan sektor-sektor ini memandangkan pelbagai kemudahan asas telah disediakan di Terengganu,” katanya.

Ahmad Razif berkata demikian ketika majlis menandatangani Surat Persefahaman (LoU) di antara kerajaan negeri dan Jiangsu Huaxi Group Corporation, di Huaxi, Shanghai.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan Pengarah Yayasan Al-Wathiqu Billah Shah, Dato’ Andri Aidham Badri.

Dalam acara tersebut, Terengganu diwakili oleh Ahmad Razif manakala Jiangsu Huaxi Group Corporation diwakili oleh Pengerusinya, Wu Xie En.

Ahmad Razif berkata lagi, kerajaan negeri akan turut memberi kerjasama sepenuhnya kepada syarikat tersebut sekiranya mereka berminat untuk menceburi lain-lain pelaburan di Terengganu yang difikirkan berpotensi dan sesuai dengan perniagaan yang mereka jalankan.

“Kita mengalu-alukan pelaburan mereka di sini seperti pembangunan semula ‘Strawberry Park’ di Kemaman, pembangunan di Pulau Perhentian dan pembangunan hub-petroleum di Pulau Kerengga,” katanya.

Beliau turut berharap dengan pelaburan yang dibuat oleh mereka bukan sahaja dapat memanfaatkan pendapatan ekonomi negeri malah dapat menjana pendapatan rakyat di sekeliling kawasan yang dibangunkan.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment