Páginas

Monday 3 August 2015

Wanita UMNO Tingkatkan Keberkesanan JR Untuk Hadapi Isu Nasional

AUTHOR: MASTURA JAMALDIN 2 AUGUST 2015


Pergerakan Wanita UMNO Malaysia akan terus meningkatkan keberkesanan Jalinan Rakyat(JR) sebagai platform utama sayap itu dalam menghadapi isu-isu nasional termasuklah isu pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM), baru- baru ini.

Ketua Penerangan Pergerakan Wanita UMNO Malaysia Datuk Rosni Zahari berkata sehubungan dengan itu pihaknya akan meningkatkan pemantapan jentera JR di seluruh negara selari dengan pengiktirafan wanita sebagai tulang belakang parti UMNO yang bergerak aktif dengan turun ke peringkat akar umbi bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti.


“Wanita UMNO tiada masalah dengan isu pengguguran jawatan TPM kerana kami bekerja untuk parti dan akan bergerak lebih aktif bagi membantu parti dan seterusnya persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke- 14 (PRU14)  nanti.

“Selaku tulang belakang parti..kami yakin  dan percaya apa jua keputusan Perdana Menteri pastinya untuk kebaikan dan kekuatan parti.Lagi pun isu pemecatan TPM ini bukanlah kali pertama berlaku di negara kita dan sebagai rakyat kita harus menerimanya dengan fikiran terbuka,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Hulu Terengganu di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, semalam.

Tambah Rosni lagi,Wanita UMNO akan tetap menghormati Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden UMNO dan lontaran idea beliau untuk terus memperkuatkan parti.


Sementara itu Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Hulu Terengganu merangkap Ketua Pergerakan Wanita UMNO Terengganu, Dato’ Fatimah Hamat berkata terdapat lebih 17,000 JR di seluruh Terengganu termasuk 2,100 JR di Hulu Terengganu yang akan bergerak sebagai satu kumpulan gerak kerja ke arah PRU14 nanti.

“Kita telah adakan pelbagai taklimat dan kursus kepada JR untuk melancarkan pergerakan mereka ke peringkat akar umbi sebagai mata telinga parti dalam menjaga kebajikan dan masalah rakyat.

“Pihak kami telah merancang pelbagai program mendekati rakyat,meramaikan penyokong di samping pengundi atas pagar untuk memberikan sokongan kepada Barisan Nasional,”katanya.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment