Páginas

Tuesday, 29 March 2016

BN Tetap Majoriti Di Terengganu – Razif

By Aida Abd Rahman -  29 Mac 2016


Menteri Besar menegaskan situasi politik di Terengganu pada masa kini dilihat bergolak hanya berpunca daripada viral disebabkan persepsi negatif dan buruk yang timbul daripada pelbagai pihak yang cuba memecah-belahkan UMNO dan parti Barisan Nasional (BN).


Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu berkata, hakikatnya tiada isu besar yang melanda politik Terengganu serta menafikan akan ada Pilihan Raya Negeri (PRN) seperti yang diviralkan menerusi media sosial sejak beberapa minggu lalu.

Isu berkenaan timbul apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Dato’ Seri Ahmad Said mengemukakan undi tidak percaya ke atas Ahmad Razif pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), 8 Mac lalu namun ditolak Speaker DUN, Dato’ Mohd Zubir Embong.

“Saya tiada masalah sampai sekarang, sebab keadaan di Terengganu kita masih lagi dalam keadaan 17 (BN), 14 (Pas) dan satu PKR.

“Jadi kita belum tahu lagi (pertukaran kerajaan), kalau berlaku apa-apa keadaan kalau dikatakan ADUN Kijal menarik diri, akan menjadi 16 BN, 14 PAS, satu PKR, satu Bebas dan kita masih lagi kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meraikan petugas media seluruh Terengganu sempena Majlis Makan Malam santai Bersama YAB Menteri Besar, di Hotel Primula Beach, Kuala Terengganu, malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Samiun Salleh dan Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Che Mansor Che Kerma serta kira-kira 150 petugas media Terengganu.


Ahmad Razif juga melihat kedaaan itu timbul akibat banyak provokasi bagi menggagalkan setiap usaha dan perancangan yang sedang kerajaan negeri laksanakan hari ini.

Beliau juga meminta pemimpin serta orang ramai supaya menolak provokasi daripada pihak yang mencetuskan isu-isu berkenaan, sebaliknya meneruskan agenda pembangunan yang memberi manfaat serta mewujudkan kesejahteraan kepada rakyat.

“Saya rasa kita tidak perlu layan sangat tentang isu-isu sebegini, kita mesti terus pandang ke depan dan pastikan kepentingan rakyat menjadi keutamaan.

“Jadi bagi saya seperti yang saya sebut sebelum ini apa yang berlaku kini seolah-olah seperti ribut dalam cawan,” katanya.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment