Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, setakat ini pihaknya tidak mengeluarkan sebarang pekeliling bagi melarang perkara tersebut, memadai dikeluarkan kementerian tertentu termasuk Kementerian Kesihatan dan Jabatan Meteorologi Malaysia dari semasa ke semasa.
“Saya berharap mana-mana pihak mengambil iktibar dengan kes kematian seorang pelatih polis akibat strok haba, baru-baru ini.
“Oleh itu kita perlu mempertingkatkan langkah-langkah awal dalam menghadapi cuaca panas yang melanda negara sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kesukarelawan IM4U Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) di Kampung Mangkok, Setiu petang kelmarin.
Hadir sama, Pengerusi Puspanita Kebangsaan Puan Sri Datuk Rohani Abdullah yang juga isteri kepada KSN; Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Osman Muda bersama isteri To’ Puan Aizan Ngah yang juga Pengerusi Puspanita Cawangan Terengganu serta lebih 500 perwakilan PUSPANITA dari seluruh negara.
Ali yang juga Penasihat Puspanita Kebangsaan memberitahu elemen perpaduan dan semangat kesukarelawan perlu dipupuk agar keseimbangan sesebuah masyarakat yang harmoni dan muhibah dapat dicapai dengan adanya penyertaan daripada golongan belia.
Katanya, sesebuah komuniti tidak dapat membangun atau menjadi progresif sekiranya golongan belia di dalam komuniti itu lemah jati diri dan ilmu pengetahuan.
“Pihak kami memuji usaha yang dilakukan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan membabitkan belia dalam program Kampungku Masa Depanku di Kampung Durian Telur, Hulu Besut yang berjaya membangunkan kampung itu melalui tenaga belia.
“Usaha menggalakkan golongan belia untuk terus tinggal di kampung dengan membangunkan aktiviti pertanian patut dicontohi dan diperbanyakkan dengan membabitkan lebih ramai golongan belia di tempat-tempat lain,” katanya.
Teganukita/MediaJerteh
No comments:
Post a Comment