Pengalaman 20 tahun sebagai guru masakan di Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) membawa tuah kepada Hasnah Yusof, 65 dari Kampung Balik Bukit, Besut muncul johan Pertandingan Masakan Sedap Peringkat Daerah Besut yang berlangsung di Dewan Majlis Daerah Besut, Gong Kemuntong, semalam.
*****
Hasnah bersama dua adiknya, Maznah dan Rahimah dari kumpulan Jalinan Kasih mengalahkan 50 peserta lain dalam pertandingan untuk memilih wakil daerah ke pertandingan peringkat negeri tidak lama lagi.Pertandingan anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Pembangunan Wanita,Keluarga dan Masyarakat Negeri, Dato’ Muhamad Pehimi Yusof yang juga ADUN Jertih.
Hasnah selaku ketua kumpulan adik beradik itu banyak menggunakan pengalaman hidup sebagai guru masakan ketika bertugas dengan KEMAS untuk meraih kejayaan dalam pertandingan berkenaan.
“Kejayaan ini bukan pertama kali bagi saya kerana setiap kali pertandingan masakan peringkat daerah, sememangnya sering menjadi johan,” katanya.
Berikutan kejayan itu beliau memperolehi hadiah wang tunai RM500 serta sijil dan akan mewakili daerah untuk ke karnival Beautiful Terengganu di Plaza Angsana,Johor Bharu, Mac depan.
Hasnah menggunakan kepakaran memasak lauk berasaskan udang, daging dan ikan dengan hiasan menarik selain keenakkan masakan menjadi daya tarikan pengadil memilihnya sebagai pemenang.
Muhamad Pehimi ketika merasmikan program itu, mahu penduduk negeri ini mengekalkan produk tempatan Terengganu untuk dijadikan sajian kepada pelancong luar yang berkunjung ke negeri ini.
Katanya, banyak kuih dan masakan tradisional yang diwarisi oleh nenek moyang perlu diberi perhatian semula oleh wanita dan menjadikan makanan tempatan untuk dinikmati pelancong.
Beliau berharap menerusi pertandingan yang dianjurkan oleh YPK dapat mengetengahkan produk makanan negeri ini ke peringkat yang lebih tinggi dan menjadi kegemaran rakyat Malaysia.
Teganukita/MediaJerteh
No comments:
Post a Comment