Johan qari dan qariah, Tarmizi (kiri) dan Jannah (kanan) bakal mewakili Terengganu ke Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail.
*****
Ahmad Tarmizi Abd Rahman dan Nor Jannah Abd Rahman masing-masing dari Kuala Nerus muncul johan qari dan qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu Tahun 1437H/2016M.Kemenangan itu membolehkan johan bagi kedua-dua kategori berkenaan membawa pulang wang tunai RM8,000 berserta sijil penyertaan, piala pusingan dan juga piala iringan sekaligus mewakili Terengganu ke peringkat kebangsaan.
Naib johan qari pula dimenangi oleh Abdul Hadi Che Abdul Halim dari Dungun dan tempat ketiga, Abdul ‘Alim Zakaria dari Kuala Nerus, manakala tempat kedua qariah pula milik Nasirah Ibrahim (Hulu Terengganu) diikuti tempat ketiga Nor Asiah@Norasid Ali (Dungun).
Hadiah bagi pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima RM6,000 dan RM5,000 berserta sijil penyertaan dan piala iringan.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan tersebut.
*****
Pada majlis itu, Sultan Mizan menyeru agar semua rakyat memastikan agar sebarang cubaan untuk menggugat keutuhan agama Islam di Terengganu dapat dihalang dan ditangani.Baginda dalam titahnya melahirkan rasa kebimbangan terhadap ancaman kepada kesucian dan kedaulatan agama Islam pada masa kini.
Katanya, umat Islam telah diserang dari pelbagai sudut, sama ada secara tersirat, dalaman atau luaran, yang mana ianya bertujuan untuk meruntuhkan perpaduan dan kesucian agama Islam.
SYA_0233
“Oleh itu, bagi memartabatkan agama Islam di Terengganu Darul Iman ini, seluruh umat Islam hendaklah berpegang teguh dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jama’ah sama ada dari aspek akidah, syariah dan tasawwuf.
“Pegangan ahli Sunnah Wal Jama’ah sahajalah yang benar dan telah terbukti sebagai manhaj wasatiyyah yang berjaya menjaga akidah umat Islam daripada terjebak dengan pelbagai aliran atau ideologi menyeleweng seperti Syiah, ajaran sesat, liberialisme, pluralisme agama dan sebagainya,” katanya.
Baginda dalam titahnya turut menyeru agar rakyat di Terengganu bersatu padu tanpa mengira rupa bangsa dan anutan.
“Melalui perpaduan akan terlahirlah kedamaian dan segala perancangan serta usaha pihak kerajaan akan dapat dilaksanakan dengan penuh berkat demi untuk kebaikan umat Islam.
“Sekiranya perpaduan menjadi rapuh dan ruh ukhuwah menjadi longgar maka sudah tentu ia akan menjurus umat Islam ke jurang kelemahan,” katanya.
Sultan Terengganu bertitah dalam Majlis Penutup Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu Tahun 1437H/2016M di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus. Turut berkenan berangkat, Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.
Mengiringi baginda berdua, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman dan isteri, To’ Puan Halina Zakaria; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri 2016.
Teganukita/MediaJerteh
No comments:
Post a Comment