Páginas

Wednesday 23 March 2016

Habuan Untuk Juara Hoki Bawah 16 Tahun

By Mohd Syazni Zainudin -  23 Mac 2016


Kerajaan negeri mengagihkan insentif hampir RM10,000 kepada 20 atlet dan pegawai pasukan hoki lelaki bawah 16 tahun selepas muncul juara keseluruhan peringkat kebangsaan di Kejohanan Hoki Bawah 16 Tahun Kebangsaan 2016 di Kuala Lumpur, Ahad lalu.


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Rozi Mamat berkata insentif yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri tersebut adalah menerusi Skim Hadiah Kemenangan (Shake).

Beliau yang berbangga dengan prestasi pasukan hoki itu berkata, kejayaan tersebut sekaligus membuktikan komitmen serta usaha kerajaan negeri dan Pasukan Hoki Negeri Terengganu (PHNT) dalam membangunkan sukan hoki di Terengganu.

“Ia secara tidak langsung mengangkat akademi sukan hoki yang berpusat di Sekolah Menengah Padang Midin sebagai platform dalam melahirkan lebih ramai pelapis untuk diserapkan ke dalam pasukan hoki negeri (THT) pada masa akan datang.

“Justeru, kita berharap dengan insentif yang diterima ini sedikit sebanyak menyuntik semangat atlet untuk terus mempamerkan aksi cemerlang mereka pada kejohanan akan datang khususnya di Kejohanan Hoki Kebangsaan Bawah 14 Tahun September depan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan peruntukan tersebut pada majlis Majlis Meraikan Kemenangan Skuad Hoki Bawah 16 Tahun Terengganu di Permai Hotel, Kuala Terengganu,semalam.

Turut hadir, President PHNT, Dato’ Wan Ahmad Nizam Wan Abd Hamid dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Shafruddin Ali Hussin.

Kejohanan yang berlangsung selama sembilan hari bermula 12 Mac lalu disertai 13 pasukan dari seluruh negeri berjaya menobatkan Terengganu selaku juara dengan menamatkan penantian selama 10 tahun selepas menumpaskan Selangor menerusi penentuan penalti 2-0 pada perlawanan pentas akhir.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment