Páginas

Tuesday 29 March 2016

Terengganu Laksana 71 Projek Pembangunan Sehingga 2020

By Aida Abd Rahman -  29 Mac 2016


Terengganu bakal melaksanakan 18 (Entry Point Projek) merangkumi 71 projek pembangunan secara berperingkat-peringkat dalam tempoh empat tahun bermula bulan depan sehingga 2020.


Kesemua projek pembangunan dijangka bernilai kira-kira RM15.1 billion melibatkan RM11.3 billion daripada pelaburan swasta, RM2.02 billion pelaburan awam dan RM1.74 billion pelaburan bersifat pemangkin dengan sembilan daripadanya dalam fasa pembinaan bakal menyediakan kira-kira 41,000 peluang pekerjaan kepada penduduk negeri ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata projek-projek berimpak tinggi yang dirancang menerusi Majlis Ekonomi Negeri Terengganu (MEN-T) dan Unit Transformasi Ekonomi Negeri (U-TENT) itu dijangka mampu melonjak  Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sehingga lapan peratus dengan pendapatan isi rumah dijangka meningkat sebanyak RM8,000 sebulan.

“Semua projek-projek yang bakal dilaksanakan bermula bulan depan ini tidak termasuk projek menerusi Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). Jika kesemua projek itu berjaya dilaksanakan, Terengganu pasti mencapai KDNK lebih daripada yang disasarkan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika meraikan petugas media seluruh Terengganu sempena Majlis Makan Malam santai Bersama YAB Menteri Besar, di Hotel Primula Beach, Kuala Terengganu, malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Samiun Salleh, Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Che Mansor Che Kerma serta kira-kira 150 petugas media Terengganu.

Ahmad Razif berkata, Terengganu juga bakal mewujudkan Special Economic Zone (SEZ) seluas 729,400 hektar merangkumi 53 peratus daripada penduduk Terengganu, sekaligus  bakal merancakkan serta melancarkan projek-perojek pembangunan yang ditawarkan oleh Pusat kepada kerajaan negeri.

Katanya, hampir 70 peratus projek yang dikenalpasti akan berada dalam lingkungan SEZ dan bakal menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi di kawasan tengah dan utara negeri bagi mengimbangi kegiatan ekonomi dan perindustrian yang dilihat hanya berfokus di selatan negeri.

Dalam pada itu, syarikat daripada China iaitu Jiangsu Huaxicun Company Limited juga bersetuju melabur RM1 bilion di Terengganu melibatkan projek membesarkan Dermaga Timur, Pelabuhan Kemaman bagi memenuhi permintaan sektor minyak dan gas.

“Jadi kita jangka pelaburan yang akan dibuat di Terengganu ini lebih kurang RM 1 bilion. Apabila kita dah ada keuntungan dengan pihak Huaxicun, sekaligus dapat membantu industri pelancongan di Terengganu.

“Perkembangan itu pastinya membantu menggalakkan pelancong-pelancong dari China ke Terengganu,” katanya.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment